‘Melayu ternanti-nantikan cerita baik bukan Melayu’

Semangat nasionalisme yang jitu terserlah (dari kiri) Khoo Kay Kim, Lee Chong Wei, Chang Ming Youn, dan Tan Kok Seong.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebilangan besar masyarakat Melayu ternanti-nanti cerita yang baik melibatkan orang bukan Melayu terutamanya bangsa Cina yang membuktikan bahawa sebenarnya orang Cina sememangnya cintakan tanah air ini.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Kedah, Muhamad Mat Yakim berkata, masyarakat Melayu juga ternanti-nanti cerita yang baik kalangan bukan Melayu yang  menghayati nilai-nilai sedia ada, terutama dalam landasan sejarahnya dan bukannya mahu membina naratif baharu yang menyimpang. 

- Advertisement -

“Rasa itu tidak pernah padam! Ada pemuda Cina berjaya tamatkan kursus asas Komando (Gerak Khas), orang Melayu share (perkongsian) di serata media sosial (medsos). Mereka tumpang bangga dengan nilai-nilai baik terutama patriotisme yang ada pada pada diri pemuda itu.

“Mereka mahu buang persepsi negatif yang banyak berlegar dalam pemikiran ramai orang Melayu sendiri bahawa orang Cina jarang ada yang mahu masuk askar. Selain faktor gaji, ramai orang Melayu bertanggapan orang bukan Melayu terutama Cina kurang semangat nasionalisme.

“Jadi apabila ada berita ini,  mereka sendiri bersungguh-sungguh mahu buktikan sekali gus menafikan tanggapan mereka yang dahulu. Kononnya ia sudah berlalu. Mereka berusaha meyakinkan diri sendiri bahawa sebenarnya ada orang Cina yang cintakan negara ini.

“Sedia untuk mempertahankannya dengan nyawa dan pengorbanan. Walaupun jarang, mereka mahu mempercayakan diri sendiri bahawa Cina yang seperti itu sebenarnya ramai. 

“Saya mahu tanya berapa ramai orang Cina yang berkongsi kebanggaan dengan kejayaan Leftenan Muda Chang Ming Youn itu?” kongsi beliau  dalam media sosial miliknya.

Menurutnya, beliau mengajak masyarakat untuk memerhatikan Facebook hero nasional seperti Datuk Lee Chong Wei yang selalu berkongsi nilai-nilai baik dengan jati diri sebagai rakyat Malaysia tulen.

“Sesungguhnya Lee Chong Wei adalah suri teladan yang merentasi sebarang perbezaan termasuk kaum dan agama dalam menampilkan semangat nasionalismenya. Namun dalam komen-komen medsos beliau, perhatikanlah individu daripada kaum mana yang ramai meraikan dan menzahirkan kebanggaan atas nilai-nilai Malaysia yang beliau kongsikan? 

“Apabila ada tokoh ilmuan kaum Cina seperti mendiang Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang bercakap tentang fakta, beliau tidak disukai oleh orang dari kaumnya sendiri.

“Apabila Prof Emeritus Datuk Dr Tan Kok Seong bercakap mengenai jati diri sebenar dengan menghayati nilai-nilai kenegaraan yang perlu ada dalam hati setiap rakyat Malaysia termasuk orang Cina, beliau dimusuhi oleh orang dari kaumnya sendiri. Malah, ada laporan polis dibuat terhadap tokoh itu.

“Di sebalik cerita kejayaan Leftenan Muda Chang Ming Youn, walaupun diselubungi persepsi yang berbaur curiga, jauh dalam hati ramai orang Melayu sebenarnya masih mengharapkan yang baik daripada rakan-rakan bukan-Melayu untuk berkongsi perasaan yang sama terhadap tanah air ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/4/2024

- Advertisement -