PRK Kuala Kubu Bharu: Medan rakyat ‘ajar’ kerajaan

Nadzir Helmi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) menggesa rakyat untuk ‘mengajar’ pentadbiran kerajaan Madani agar tidak sewenang-wenangnya cuba merendahkan nilai intelek dan kebolehan rakyat.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nadzir Helmi berkata, rakyat tidak wajar terus diperbodohkan oleh kegagalan kerajaan Madani tanpa rakyat mengajar mereka.

- Advertisement -

“PRK Kuala Kubu Bharu yang bakal menjelma menjadi medan paling hampir untuk rakyat mengajar kerajaan Madani yang gagal,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Madani kian semakin terbukti sudah hilang arah dan kepercayaan rakyat negara ini.

“Perkembangan hari demi hari telah menzahirkan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Ke-10 (PMX) sedang bergerak dalam keadaan hala tuju yang salah.

“Rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita penganugerahan kontrak projek untuk JPJ yang bernilai RM190 juta kepada syarikat Heitech Padu.

“Syarikat Heitech Padu baru sahaja dimiliki oleh bekas setiausaha politik PMX, Farhash Wafa menerusi syarikatnya Rosetta Partners Sdn Bhd tidak lama dahulu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, namun lebih aneh setelah diasak oleh ribuan persoalan oleh rakyat, pemilikan syarikat Heitech Padu dikhabarkan tidak lagi menjadi milik Farhash Wafa, apabila berlakunya perubahan terhadap pegangan saham Farhash dalam Mfivesouthsea Sdn. Bhd.- syarikat induk Rosetta Partners yang memiliki Heitech Padu.

Tambah Nadzir, kes berkenaan Farhash Wafa jelas telah menimbulkan seribu satu persoalan dalam kalangan rakyat berkenaan aspek tadbir urus dan tatakelola yang baik oleh pihak kerajaan itu sendiri.

“Rakyat tidak boleh dipersalahkan kerana elemen tatakelola sering menjadi azimat yang dilaungkan PMX.

“Kerajaan Madani wajar membuat penerangan dan mengamalkan ketelusan dalam isu ini bagi meredakan kegusaran rakyat.

“Selain itu, dalam bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, pemimpin Kerajaan Madani sekali lagi menzahirkan sikap hipokrit dan pelupa mereka dalam menegakkan janji politik mereka terdahulu,

“Jika dahulu, gula-gula dan ‘rasuah’ politik amat dibenci oleh mereka, namun begitu, Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam lawatan kerja ke Hulu Selangor pada minggu ini secara kebetulan, telah menganugerahkan projek bernilai RM5.21 juta kepada rakyat Hulu Selangor,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan adakah Hulu Selangor akan diberikan projek tersebut jika Kuala Kubu Bharu bukan berada dalam situasi bakal menghadapi pilihan raya; atau adakah sekadar kebetulan projek ini dianugerahkan dalam tempoh sebegini?

Beliau menyatakan contoh yang diberikan hanya sebahagian kecil sahaja menjadi bukti bahawa Kerajaan Madani semakin hilang arah dalam mentadbir.

“Dalam satu minggu yang sama, sudah dua isu besar ditimbulkan. Sentimen ketidakyakinan rakyat bukan lagi sekadar sembang air liur dan cakap-cakap kedai kopi sahaja,

“Kegagalan demi kegagalan kerajaan Madani dalam membawa negara menuju ke arah hala tuju yang betul adalah selaras dengan dapatan daripada Ipsos, sebuah firma penyelidikan pasaran antarabangsa yang menunjukkan 47% rakyat Malaysia merasakan kerajaan sedang menuju ke arah yang salah,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/4/2024

- Advertisement -