Lajnah Pendidikan PAS Selangor santuni pendidik

Sharifah Haslizah (kanan) dan pelajar menunjukkan petanda buku yang diiringi dengan kata-kata semangat yang diberi oleh Lajnah Pendidikan PAS Selangor. (FOTO: Ihsan/SharifahHaslizah)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Pendidikan PAS Selangor mengadakan beberapa siri terjah ke sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan juga sekolah di bawah pentadbiran PAS.

Ketuanya, Sharifah Haslizah Syed Ariffin berkata, program tersebut diadakan untuk menghargai jasa guru-guru yang berada di sekolah pada sesi pembelajaran petang serta bertujuan untuk menyantuni pendidik sambil memperkenalkan ikon pendidik peringkat PAS Negeri Selangor iaitu Pesuruhjaya sendiri selaku mantan Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

- Advertisement -

“Pengorbanan guru membimbing anak bangsa dalam memastikan kemenjadian rakyat yang baik sangat diambil berat oleh Lajnah Pendidikan PAS Selangor.

“Kehadiran kami ke sekolah-sekolah tersebut menjadi sesuatu yang tidak dijangka oleh pihak pentakbir, tetapi pemberian juadah berbuka puasa telah diterima dengan senang hati oleh pihak sekolah,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Selangor berkata, pihak lajnah turut mengambil kesempatan menyantuni pelajar di luar pagar sekolah dengan mengedarkan petanda buku ‘Selamat Kembali Ke Sekolah’.

Petanda buku tersebut, ujar beliau, diiringi kata-kata semangat agar mereka belajar dengan bersungguh-sungguh pada sesi kali ini.

“Program perintis yang berjaya diadakan di kawasan Ampang, Pandan, Sepang, Puchong, Gombak dan Kuala Langat ini akan diteruskan pada masa yang akan datang ke seluruh kawasan-kawasan agar mereka mengetahui bahawa para pendidik sentiasa dihargai,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/4/2024

- Advertisement -