KUALA SELANGOR: Kehangatan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kubu Bharu (KKB) kian terasa, menyaksikan Perikatan Nasional kini siap siaga ke arah perubahan dan fokus merealisasikan Misi 4-0 untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) KKB dalam pilihan raya kali ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, PRK di Kuala Kubu Bharu kali ini dilihat sudah bersedia untuk membawa perubahan yang akan dibuat dan bersama-sama merealisasikan misi 4-0, dengan mendapat sambutan penuh daripada penduduk setempat.
“Mereka melihat Kuala Kubu Bharu ini adalah sebuah kawasan yang sangat unik dan kawasan yang seharusnya mendapat perhatian yang lebih daripada kerajaan negeri.
“Terlalu banyak isu yang memberi impak secara langsung kepada rakyat maka saya lihat, angin perubahan ini sedang melanda di sini,” katanya pada HarakahDaily dalam Majlis Silaturrahim dan Rumah Terbuka Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Misi 4-0 akan dicapai jika PN menang DUN KKB kali ini, melengkapi penguasaan parti ini di Parlimen Hulu Selangor melalui Ahli Parlimennya, Mohd Hasnizan Harun, serta DUN Hulu Bernam (oleh Mu’izzuddeen Mahyuddin) dan Batang Kali (Tuan Muhammad Muhaimin Harith Abdullah).
Ini adalah kerana KKB merupakan satu-satunya DUN di bawah parlimen Hulu Selangor yang tidak dimenangi PN, selepas dua DUN iaitu DUN Hulu Bernam dan DUN Batang Kali berjaya dimenanginya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 (PRN15) yang lalu.
Sehubungan itu, Hilman turut menitipkan pesan kepada anak-anak muda dan pengundi untuk bersama-sama mengundi di PRK Kuala Kubu Bharu menjelang 11 Mei ini.
“Berfikir secara bijaksana dan bersama-sama merealisasikan perubahan dan juga memastikan pihak Perikatan Nasional yang akan mengisi kekosongan (kerusi DUN) di Kuala Kubu Bharu ini,” katanya.
Hari pengundian awal PRK DUN KKB dijadualkan yang bakal diadakan menjelang 11 Mei kelak, diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari, manakala tarikh 27 April pula telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai hari penamaan calon. – HARAKAHDAILY 24/4/2024