Penyakit berkaitan haba: 45 kes dilaporkan

Cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35°C dijangka melanda di kebanyakan tempat di Semenanjung Malaysia dan Sabah sehingga pertengahan April 2024. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemantauan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 13 April 2024 mendapati terdapat 45 kes penyakit berkaitan haba dilaporkan.

KKM dalam satu kenyataan berkata bahawa 45 kes tersebut melibatkan 33 kes kelesuan haba, 11 kes strok haba dan satu kes kejang haba. Secara kumulatif, dua kes kematian akibat strok haba juga telah dilaporkan.

- Advertisement -

Kes kematian pertama melibatkan seorang lelaki berumur 22 tahun dan kes kematian kedua membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun di Kelantan.

“Kes-kes haba ini mengikut pecahan negeri di Perak, Kedah, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Sabah, Perlis, Pulau Pinang dan Kelantan,” kata kenyataan itu.

Merujuk kepada status cuaca panas yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Pahang, Sarawak dan Sabah berada pada tahap satu  dengan berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celcius.

Pada masa yang sama, MET Malaysia juga menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35°C masih berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung Malaysia dan Sabah sehingga pertengahan April 2024.

Menurut METMalaysia lagi, kawasan yang merekodkan cuaca panas tahap dua dengan bacaan suhu 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut adalah Pokok Sena.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan agar semua pihak meneruskan langkahberjaga-jaga dengan memastikan tahap hidrasi yang mencukupi dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak, serta aktiviti-aktiviti di luar rumah pada musim cuaca panas sekarang.

“Orang awam juga diminta agar mengelakkan diri daripada terdedah kepada cuaca panas, banyakkan berteduh dan berehat lebih kerap semasa cuaca panas, memilih untuk melakukan ziarah pada waktu kurang panas atau waktu malam, terutamanya ketika mengunjungi sanak saudara dan rakan taulan semasa perayaan,” tambah kenyataan itu.

Untuk maklumat terkini status cuaca panas harian orang ramai boleh merujuk laman web MetMalaysia, https://www.met.gov.my/iklim/statuscuaca- panas/ dan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM, http://www.myhealth.gov.my/cuaca-panas-a-kesihatan. – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -