PAS Pahang kehilangan aktivis istiqamah

- Advertisement -

BENTONG: PAS negeri Pahang kehilangan dua aktivis yang sangat beristiqamah selang sehari berturut-turut pada awal Syawal ini.

- Advertisement -

Penolong Setiausaha I PAS Kawasan Bentong, Tuah Tonel (foto atas) atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Tuah kembali ke pangkuan Ilahi awal pagi 2 Syawal akibat sesak nafas.

Isteri almarhum, Suzaila Sudar memberitahu suaminya mengadu sakit dada sekembali berhari raya dari rumah kakaknya.

“Cikgu kata sakit di bahagian dada, saya cuba urut beberapa kali tapi tidak lega, cikgu minta bawakan dia ke bilik air untuk buang air dan mandi.

“Keluar sahaja daripada bilik air terus cikgu baring di atas katil dan tidak lama selepas itu beliau menghembuskan nafas terakhir, alhamdulillah beliau pergi dalam keadaan sungguh tenang,” ujar ibu kepada anak lapan itu dengan tenang.

Almarhum merupakan graduan pendidikan Universiti Putra Malaysia bergiat aktif sebagai kader PAS Kawasan Bentong lebih 20 tahun lalu.

Sifatnya yang sederhana, mudah mesra dan sangat low profile amat disenangi sahabat sebumbung mahupun di luar.

Sejajar kreadibilitinya sebagai seorang guru yang dididik dengan kemahiran berinteraksi, sekitar tahun 2000, PAS Bentong telah memberi kepercayaan kepadanya menjawat jawatan ketua penerangan dan tahun-tahun berikutnya sebagai setiausaha PAS kawasan.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Khairuddin Abdullah, almarhum seorang yang sangat komited dengan tugasannya sejak zaman Dewan Pemuda lagi serta tidak banyak ‘excuse’ kecuali benar-benar keuzuran.

“Cikgu Tuah tidak pernah menolak tugas yang diamanahkan walaupun berat serta bersikap yes man. Maka tidak hairanlah almarhum diberi kepercayaan menggalas amanah di peringkat kawasan, JPrD Bilut dan cawangan Bilut sekali gus memberi gambaran bahawa beliau sangat komited dengan legasi parti,” ujarnya

Tambah beliau lagi, almarhum mempunyai kepetahan dalam berbahasa serta keberanian menzahirkan diri sebagai aktivis PAS sekalipun ketika masih berada di dalam perkhidmatan.

Ini turut diakui Suzaila yang turut diamanahkan oleh PAS kawasan sebagai ‘pasangan kerja’ membantu arwah suaminya

“Cikgu sangat profesional dan bijak menyembunyikan ‘kedudukannya’ sehingga seingat saya cikgu kata tidak ada seorang pun rakan sekerja mengetahui cikgu menjawat jawatan penting dalam parti.

“Apabila berbual, beliau tundukkan dirinya sama level dengan orang, beliau tidak suka menonjolkan diri tetapi lebih suka memilih diam atau kelihatan sama-sama tidak tahu seperti orang lain,” kongsinya.

Kesihatan almarhum mulai merosot sejak disahkan menghadapi kegagalan buah pinggang tahap lima sekitar tahun 2018 dan terbaru diserang minor strok penghujung Januari 2024.

Seorang lagi aktivis istiqamah PAS Pahang, almarhum Ustaz Naazir Ramly dijemput Ilahi pada 4 Syawal setelah bertarung beberapa bulan dengan kanser paru-paru tahap empat.

Menurut Ahli Jawatankuasa Lajnah Tarbiah PAS Pusat, Ustaz Hazmi Dibok kenangan bersama almarhum yang merupakan graduan radiologi IIUM itu tidak terungkap dengan kata-kata.

Tambahnya, terlalu banyak kenangan bersama almarhum ketika mereka suami isteri masih belajar di UIAM Kuantan yang bergerak aktif dalam pemuda negeri dan pemuda PAS kawasan, mantan mudir SRITI Al-Itqan, membantu DUN Sungai Lembing dan sebagainya.

“Kali terakhir kami bertemu ialah 28 Mac yang lalu dalam Ijtimak Tarbawi Jelajah Ar-Rayyan di Balai Islam Darul Salam Permatang Badak. Dia tetap hadir walau nampak agak keletihan dan semput bermula iftar jamaie hingga akhir program,” ujarnya lagi.

Katanya, almarhum yang meninggal seusai melalui Ramadan Al-Mubarak adalah anak muda yang soleh, menghafaz al-Quran, aktif di lapangan dakwah, pendidikan dan perjuangan Islam.

“Saya sendiri secara peribadi tidak mengenalinya selain seorang yang sangat baik. Semoga Allah mengampuninya, melindunginya dari azab kubur, memberi rahmat dan syafaat buatnya. Teruskan berdoa untuknya di sana,” ujar Hazmi melalui satu hantaran di Facebooknya.

Almarhum Ustaz Naazir meninggalkan seorang isteri, Nurussolehah Yusof bersama tiga orang anak yang masih kecil. – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -