Bayer Leverkusen pertama kali juarai Bundesliga

Xabi Alonso membantu Bayer Leverkusen menjuarai Bundesliga buat kali pertama. (FOTO: ESPN)
- Advertisement -

LEVERKUSEN, Jerman: Bayer Leverkusen sah bergelar juara Bundesliga buat kali pertama dalam tempoh 120 tahun sejak penubuhan kelab tersebut, sekaligus memecahkan dominasi yang dipegang oleh kelab Bayern Munich dalam liga berkenaan.

Kejuaraan itu hadir selepas Leverkusen menewaskan Werder Bremen 5-0 dan memperoleh 79 mata keseluruhan, 16 mata dihadapan pencabar terdekat, Bayern Munich dengan baki 15 mata masih dalam taruhan.

- Advertisement -

Kelab yang dipimpin oleh bekas pemain tengah Liverpool dan Real Madrid, Xabi Alonso itu mengekalkan rekod tanpa kalah Leverkusen musim ini iaitu sebanyak 43 perlawanan dalam semua pertandingan. Statistik itu sekaligus mengatasi rekod yang dipegang oleh Bayern Munich yang sebelum ini tidak dikalahkan di dalam 32 perlawanan. 

“Ia rasa sangat menakjubkan. Saya merasakan ianya bukan sahaja untuk kita, tetapi juga untuk ramai orang yang telah mengejar impian ini selama bertahun-tahun”,

“Jurulatih sebelum ini juga sebahagian daripada kejayaan ini. Ia sangat istimewa apabila ia merupakan kali pertama buat segalanya, dan ini mungkin merupakan piala yang paling sukar,” kata Alonso ketika ditemubual selepas tamat perlawanan, lapor ESPN.

Dalam perlawanan tersebut, Leverkusen mendahului pada minit ke-25 menerusi sepakan penalti Victor Boniface, sebelum sepakan jarak jauh Granit Xhaka pada separuh masa kedua menjadikan kedudukan 2-0. Jaringan hatrik Florian Wirtz melengkapkan kemenangan luar biasa Bayer Leverkusen.

Alonso telah dilantik menjadi jurulatih Leverkusen pada Oktober 2022 sewaktu kelab itu berada di kedudukan kedua bawah, sebelum menamatkan baki saingan dengan kedudukan di tangga keenam dengan bimbingannya. 

Beliau dalam pada itu mengesahkan akan kekal menjadi jurulatih kelab berkenaan, disebalik spekulasi yang mengaitkan dirinya dengan Bayern Munich dan Liverpool, bagi menggantikan jurulatih Jurgen Klopp yang bakal meninggalkan kelab berkenaan penghujung musim ini selepas sembilan tahun menjadi jurulatih. 

Kejuaraan Bundesliga yang dimenangi itu sekaligus menghentikan gelaran ‘Neverkusen’ yang diberikan kepada kelab berkenaan yang sebelum ini telah menjadi naib juara sebanyak lima kali, tiga kali lebih banyak berbanding kelab-kelab lain di Jerman yang tidak memenangi sebarang piala sehingga musim ini. – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -