PLKN 3.0 libatkan pelajar, belia hingga usia 37 tahun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mej Jen (B) Dato’ Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) meminta penjelasan Kementerian Pertahanan mengenai pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang dijangka dilaksanakan kelak.

Beliau berkata kerajaan sebelum ini memaklumkan bahawa sama ada pelatih program tersebut hanya membabitkan pelajar sekolah menengah atau turut melibatkan belia yang berusia sehingga 37 tahun.

- Advertisement -

“Saya nak tanya pasal PLKN yang disebut tadi, PLKN ianya melibatkan budak sekolah, belia sekolah, tetapi baru-baru ini saya ada terdengar Menteri menyatakan melibatkan belia bukan pelajar.

“Jadi kita tidak bincang pun dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan, yang kita tahu, yang kita bincang, yang kita putuskan hari itu adalah pelajar, saya minta penjelasan,” soalnya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat, di sini sebentar tadi.

Beliau bertanyakan soalan tambahan itu dari pertanyaan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu)kepada Menteri Pertahanan dalam soalan asal yang meminta senarai terperinci langkah-langkah telah dilaksanakan seperti digariskan di bawah Kertas Putih Pertahanan dari tahun 2019 hingga 2023.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dalam jawapan kepada Dato’ Khlir berkata, program tersebut akan membabitkan pelajar sekolah menengah dan belia termasuk individu yang berada di institusi pengajian tinggi.

Beliau berkata, kerajaan sedang memuktamadkan libat urus, modul dari kokurikulum dan modul latihan yang akan dilaksanakan bersesuaian dengan tempoh latihan dan usia pelatih PLKN 3.0.

“Dia melibatkan pelajar sekolah menengah dan universiti, pelajar yang tidak masuk universiti pula, kita golongkan dalam kalangan belia yang juga turut terlibat dengan PLKN kali ini.

“Kalau dilihat modul kita ini saya fikir kalau dimuktamadkan nanti latihan-latihan ini melibatkan mereka, sebab itu kita ada tempoh masa dan tahap umurnya dapat buat sebaik mungkin,” katanya.

Kementerian dan ATM mengambil langkah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai pertahanan komprehensif dilaksanakan antaranya memperkasakan program bersama komuniti.

Selain itu kementerian juga sedang melakukan persiapan untuk melaksanakan PLKN 3.0 bagi meningkatkan semangat cintakan negara dalam kalangan belia dan pelajar sekolah. – HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -