Jika tiada pengaruh pelobi, kembalikan Akta GEG

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyatakan pelan bagi mewujudkan satu generasi yang lebih sihat serta bebas asap rokok sebagaimana peruntukan dalam Generasi Penamat Rokok (GEG) sebelum ini.

Hal itu susulan kerajaan dan kabinet Kerajaan Madani menafikan dipengaruhi oleh wakil industri dan pelobi syarikat gergasi tembakau berhubung pengubalan dan pelaksanaan peraturan GEG.

- Advertisement -

Dr Halimah Ali (PN-Kapar) sehubungan itu turut meminta komitmen kerajaan untuk memasukkan semula nikotin dalam senarai Akta Racun 1952 sebagaimana dicadangkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

“Bagaimana dasar kerajaan bagi mewujudkan genersi ini dapat direalisasikan jika wujud tekanan-tekanan seperti ini kita nak nafikan ke macam mana? Ianya tetap ada masalah kepada kita.

“Adakah kerajaan akan masukkan semula nikotin dalam senarai Akta Racun 1952 walaupun ada tadi akta lain tetapi bila dapat langkah mengeluarkan ini merupakan langkah ke belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bangun mencelah bertanyakan soalan tambahan dari pertanyaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PN-Muar) kepada Menteri Kesihatan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Terdahulu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjawab soalan Syed Saddiq mengenai soalannya berkaitan pelan mengawal industri setelah nikotin dikecualikan dari Akta Racun 1952.

Dr Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah kepimpinannya akan berusaha untuk mengenakan larangan lebih ketat dalam isu penggunaan rokok dan cecair vape.

Malah pihaknya tetap memperjuangkan perancangan KKM iaitu Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) walaupun hasrat tersebut dilihat telah tergendala di bawah kepimpinan kementerian lalu.

“Saya juga memperjuangkan akan terus mengangkat isu ini, meskipun tergendala ketika ini tetapi saya yakin perkara ini akan dapat re-visit semula kembali pada waktu lebih sesuai.

“Kerajaan ini bertanggungjawab menjaga kemasalahatan dan kepentingan kesihatan rakyat dalam negara ini, ANMS telah menerangkan segalanya ‘not to worry’,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -