Lebuh raya sesak perlu alternatif, inisiatif lain

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya dicadangkan membuat laluan alternatif atau inisiatif lain bagi menangani laluan lebuh raya yang mengalami kesesakan parah, demikian gesa Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh).

Menurut beliau, lebuh raya daripada Gua Musang Kelantan akan sampai ke Lebuhraya Pantai Timur, (LPT) dan daripada Karak sehingga ke Gombak mengalami kesesakan yang sangat dahsyat.

- Advertisement -

“Jadi adakah perancangan daripada kerajaan untuk mengalihkan aliran ataupun lebuh raya yang baru kalau daripada Lipis sampai terus ke lebuh raya ini, maknanya satu exit yang keluar untuk mengelak daripada berlakunya kesesakan yang sangat parah.

“Ataupun daripada Karak diwujudkan satu laluan yang lain menuju ke Shah
Alam ataupun sebagai apa-apa jua inisiatif daripada pihak kerajaan,” ujar beliau.

Beliau mengemukakan perkara itu ketika mencelah Menteri Kerja Raya semasa sesi Jawapan oleh YB Menteri-menteri ke atas Perbahasan Titah Diraja di sini sebentar tadi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bahawa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Kementerian JKR dan sebagainya telah mengetahui masalah ataupun perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Parlimen.

“Sebab Ahli YB pun antara ramai yang membangkitkan perkara yang sama. Kita ada perancangan, kita ada kajian yang kita buat terlebih dahulu dan sebenarnya YB, kalau masa mengizinkan ada dalam jawapan saya seterusnya nanti.

“Tapi yalah yang sebenarnya YB kalau saya perlu menjawab semua, saya ada 116 muka surat. Sebab apa YB, saya mengarahkan pegawai-pegawai untuk setiap apa soalan ataupun pertanyaan ni, dijawab dengan selengkap-lengkapnya.

“Sebab itu kita jawapannya panjang, akan tetapi memang seperti biasa mungkin masa tak mengizinkan. Akan tetapi sampaikan secara bertulis nanti. Ni peringkat awal saya ada sebab kita tak nak buat secara simple saja. Kita buat selengkap-lengkapnya jawapannya penjelasannya,” jawab beliau. – HARAKAHDAILY 12/3/2024

- Advertisement -