Tubuh Tabika Perpaduan di setiap Rukun Tetangga

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan Tabika Perpaduan setiap Kawasan Rukun Tetangga demi agenda perpaduan nasional dalam negara majmuk seperti Malaysia, demikian saran Dr Halimah Ali (PN-Kapar).

“Program pendidikan awal kerajaan khususnya Tabika Perpaduan adalah satu usaha baik, Kapar mahu tahu adakah kerajaan bercadang untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu Tadika Perpaduan di semua Kawasan Rukun Tetangga.

- Advertisement -

“Kita melihat fakta hingga Disember 2022 ada 8,348 Kawasan Rukun Tetangga di seluruh negara, tadi Timbalan Menteri sebut 1,781 sahaja Tabika Perpaduan,” katanya semasa mencelah pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut meminta Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy menyatakan bilangan kawasan Tabika Perpaduan yang bakal diwujudkan di Kapar.

“Ini kerana Kapar ini ada 30 peratus lebih kurang bukan-Melayu, dan 70 peratus Melayu. Jadi dia punya kaum itu adalah melayakkan Kapar dapat banyak lagi Tabika Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mencelah pertanyaan Rodziah Ismail (PH-Ampang) kepada Menteri Perpaduan Negara pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.

Rodziah dalam soalan asalnya minta kerajaan menyatakan dasar dan mekanisme yang ditetapkan dan diguna pakai bagi mengimbangi agenda dan tuntutan dua objektif yakni kesepaduan sosial dan integrasi nasional.

Juga dimintanya ketimbang pewujudan lebih banyak Tabika Perpaduan, satu program pendidikan awal kanak-kanak di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Menjawab persoalan yang dibangkitkan Dr Halimah, Saraswathy berkata, penubuhan Tabika Perpaduan adalah berdasarkan kepada permintaan.

“Walaupun ada lebih dari 8,000 Kawasan Rukun Tetangga, kalau permintaannya adalah kurang di sesuatu kawasan, sebagai contoh kalau sekolah yang boleh menampung semua murid di kawasan itu dalam pra sekolah yang diwujudkan di sekolah, maka permintaan tidak akan ada.

“Jadi kita juga perlu meneliti permintaan dan adakah cukup murid untuk memulakan sesuatu Tadika Perpaduan.

“Jika ada apa-apa permintaan daripada Kapar untuk menubuhkan satu Tabika Perpaduan di mana-mana lokasi, ia akan di teliti dan sekiranya boleh ditubuhkan kita akan ambil langkah untuk menubuhkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/03/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!