PAS berusaha jadi parti pilihan rakyat Sabah 

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Sabah berusaha menjadi salah sebuah parti politik yang pilihan rakyat di Negeri Bawah Bayu pada pilihan raya negeri akan datang.

Pesuruhjaya PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, kepimpinan baharu yang dilantik akan berusaha membawa PAS Sabah menjadi salah sebuah parti politik pilihan rakyat.

- Advertisement -

Kata beliau, antara pendekatan diketengahkan iaitu politik adil, prihatin dan berkebajikan sesuai dengan tema Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar ke-69 di Shah Alam minggu lepas.

“Kami juga akan terus membawa pendekatan politik damai, matang dan sejahtera selari dengan budaya dan kepelbagaian masyarakat di Sabah.

“Saya juga mengucap jutaan terima kasih kepada kepimpinan PAS Pusat terutama Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kerana memberi kepercayaan kepada saya menggalas jawatan tersebut,” katanya pada kenyataan hari ini.

Dr Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik Sabah berkata, sebagai sebuah parti politik yang sudah lama bertapak di negeri tersebut, PAS akan terus membina hubungan baik dengan semua pihak.

Hubungan itu, ujarnya, termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, orang perseorangan serta penduduk pelbagai kaum dan agama. 

“PAS Sabah akan terus menjalankan pelbagai program kebajikan, pembangunan pendidikan, menyantuni masyarakat merentasi kaum dan agama.

“Selain itu memantapkan kerja sosial termasuk ketika bencana alam dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan politik,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2023

- Advertisement -