KOTA BHARU: Program Pemantapan Komunikasi Interpersonal Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) membabitkan 80 mahasiswa telah berjaya meningkatkan gaya ucapan berkesan.
Pensyarah Pusat Pengajian Teras, Rosnani Ripin berkata, program anjuran Pusat Pengajian Teras dengan kerjasama Unit Perpustakaan Kias itu berjaya memberi kefahaman, pendedahan ilmu dan praktikal kepada mahasiswa terbabit.
“Saya bersyukur mahasiswa yang terlibat dengan program itu kini bijak menyusun diksi bahasa, berfakta dan mampu menyampaikan mesej secara konsisten kepada khalayak serta berjaya merealisasikan ‘project image’,” katanya.
Menurutnya, ‘project image’ ialah mewakili diri dengan cara tertentu melalui pertuturan, tingkah laku dan penampilan.
“Mahasiswa yang terlibat ialah dari kursus Elektif Penulisan dan Kewartawanan, Pengucapan Awam, Media & Masyarakat, Dakwah & Media dan orang awam.
“Antara cara pengisian program tersebut tazkirah ringkas, khutbah ringkas dan ulasan buku.
“Mahasiswa juga berpeluang mengaplikasikan teori komunikasi secara terbuka (aktiviti outdoor),” jelasnya sambil menambah bahawa mahasiswa terbabit juga dapat memantapkan lagi ilmu penulisan dan kewartawanan.
Turut hadir ialah pelajar-pelajar SIC, Kota Bharu menyertai program English Week salah satu pengisian Hari Terbuka Pusat Pengajian Teras 2024.
Sementara Ketua Pusat Pengajian Teras (PPT), KIAS, Farhanim Leman dalam ucapan Majlis Penutup Hari Terbuka PPT berkata, beliau turut berbangga dengan penglibatan mahasiswa dan khalayak kerana telah memberi sambutan yang luar biasa terhadap program berkenaan.
“Hasrat saya ialah program ini dapat dilaksanakan dengan skala lebih besar pada masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2024