Tahun Baru Cina disambut sederhana demi solidariti Palestin

Steven Koh memilih bersederhana dalam menyambut Tahun Baru Cina pada tahun ini.
- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Steven Koh, memilih bersederhana menyambut Tahun Baru Cina bagi mempamerkan solidariti kepada rakyat Palestin yang menderita akibat serangan Israel sejak 7 Oktober lalu. 

“Saya mengambil keputusan untuk sekadar melengkapkan adat pada hari pertama sambutan Tahun Baru Cina dan kekal bersolidariti bersama rakyat Palestin atas sifat perikemanusiaan,” katanya.

- Advertisement -

Beliau yang juga mantan calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk Parlimen Bukit Mertajam mengingatkan masyarakat Tionghua di Malaysia agar menjaga keselamatan dan kesihatan diri untuk bersama-sama meraikan perayaan berkenaan. 

“Usah dilupakan kepada mereka yang memerlukan, bersederhanalah menyambutnya dan jangan lupa menjaga keselamatan agar tiada perkara yang tidak diingini terjadi,” katanya lagi. 

Tahun Baru Cina akan disambut pada 10 dan 11 Februari ini oleh masyarakat Cina di seluruh dunia sebagai menandakan kelahiran tahun baru dalam kalender lunar. 

Sementara menurut kepercayaan masyarakat berkenaan, tahun ini ditandai sebagai tahun naga iaitu haiwan kelima dalam kitaran 12 haiwan dalam zodiak Cina yang dipercayai mempunyai keistimewaan tersendiri. 

Steven yang juga aktivis masyarakat berkata, haiwan naga melambangkan kekuasaan, kekayaan dan kemakmuran dalam budaya kaum Tionghua.

Kebiasaannya  pada malam sambutan tahun baru, beliau dan keluarga akan berkumpul untuk jamuan makan besar di samping mengeratkan ukhuwah persaudaraan.

“Semoga Tahun Naga ini membawa keberkatan, kesihatan, keuntungan dan kemakmuran bersama,” tambah beliau yang juga merupakan bekas calon PN, Dewan Undangan Negeri (DUN) Jawi, dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15).

Dalam pada itu, beliau tidak lupa mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina, ‘Xin Nian Kuai Le’ kepada semua kaum Tionghua yang akan meraikannya dalam  beberapa hari sahaja lagi.  HARAKAHDAILY  5/2/2024

- Advertisement -