Kerajaan perlu serius lindungi kedaulatan perundangan syariah

Muhammad Azmir
- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan perlu serius mengkaji suatu pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi melindungi kedaulatan undang-undang syariah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan berkata, ini kerana sekarang bukan lagi masa untuk bersikap ‘main-main’ seperti sebelum ini walaupun banyak nasihat dan amaran sudah diberikan oleh pelbagai pihak. 

- Advertisement -

“Ahli-Ahli Parlimen khususnya yang beragama Islam sebagai anggota badan pencipta undang-undang wajib menyokong usaha mempertahankan sistem perundangan Islam di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan Keputusan Mahkamah Persekutuan,Putrajaya, semalam  yang membenarkan permohonan membenarkan permohonan petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman bagi mencabar isu perlembagaan dengan membatalkan 16 daripada 18 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Tambah Muhammad Azmir, keputusan yang dibuat mahkamah berkenaan sangat mendukacitakan seluruh umat Islam di Malaysia; dan akan memberi kesan negatif kepada sistem perundangan syariah di negeri-negeri lain.

“Keputusan ini seperti satu hari kelam yang akan dikenang oleh umat Islam. Ahli Parlimen yang beragama Islam perlu menyokong usaha mempertahankan sistem perundangan Islam di negara ini,” katanya.  HARAKAHDAILY  10/2/2024

- Advertisement -