SMART SBB ala Sekinchan di Kelantan

Tuan Mohd Saripudin (tengah) dalam majlis perasmian Program Cabaran Bio Tajmeel 2024 di Kota Bharu pada hari ini, 5 Feb 2024.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan telah memberi komitmen sepenuhnya kepada pelaksanaan Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) ala Sekinchan menjelang tahun 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, usaha itu adalah bagi menambah pengeluaran padi di Kelantan bersesuaian dengan negeri itu sebagai Jelapang Makanan.

- Advertisement -

“Program berkenaan akan dimulakan di daerah Pasir Puteh dengan melibatkan keluasan sawah padi 120 hektar,” katanya.

Menurut beliau, pada ketika ini pesawah sudah mula mengalihkan anak-anak padi dengan kaedah mencedung sebagaimana di Sekinchan.

“Kaedah itu adalah untuk meningkatkan pendapatan pesawah dengan mengaplikasikan amalan penanaman padi terbaik, selain memastikan bekalan sekuriti makanan terjamin dan mencukupi.

“Apabila kerajaan menyasarkan kawasan sawah padi di seluruh negara ditanam menggunakan program SMART SBB ala Sekinchan ia sekali gus memberi manfaat kepada negeri-negeri yang mempunyai sawah.

“Justeru, kerajaan negeri berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kerana memilih Kelantan untuk program SMART SBB ala Sekinchan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Cabaran Bio Tajmeel 2024 di sini, hari ini.

Turit hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga, Wanita negeri, Rohani Ibrahim; dan Pengurus Bio-Tajmeel,  Zairos Fadeila Zainal Abidin.

Saripudin yang juga ADUN Selising berkata, terdapat seluas 30,000 hektar kawasan sawah di negeri ini masih aktif dan kebanyakannya berada di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).  HARAKAHDAILY  5/2/2024