KUALA LUMPUR: Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mewakili perasaan ingin tahu dalam kalangan umum tentang persoalan mengenai adakah kerajaan berhasrat untuk mengenakan cukai karbon kredit, agar manfaatnya ialah dapat mencapai sifar bersih karbon pada tahun 2050.
Katanya, jika karbon kredit diperdagangkan dan yang membelinya itu adalah syarikat luar, Malaysia tidak akan mendapat manfaat tersebut.
“Kalau karbon kredit ini contoh di Sabah dan diperdagangkan.. dan kalau yang membeli itu syarikat luar.. saya rasa ia tidak akan membantu mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050, sebab kita buat karbon kredit di Malaysia tetapi kita jual keluar, jadi orang luar akan mendapat kelebihan.
“Apakah kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan cukai karbon (merujuk kepada cukai persekitaran yang dikenakan terhadap kandungan bahan api karbon) supaya syarikat-syarikat tempatan ini akan berlumba-lumba untuk membeli karbon kredit dan manfaat itu akan kembali kepada Malaysia dalam mencapai sifar bersih 2050?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Nik Nazmi berkata, terdapat dua jenis kredit karbon iaitu kredit karbon yang boleh menjejaskan Pelan Hala Tuju Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC); dan kredit karbon yang dibeli syarikat swasta untuk mengimbangi yang semestinya tidak mengganggu NDC negara.
“Komitmen kita (Kementerian).. apa jua perdagangan kredit karbon yang kita benarkan tidak boleh menjejaskan komitmen NDC kita.
“Cuma itu yang saya nak tegaskan.. kita tidak akan berganjak daripada prinsip tersebut bahawa ia tidak akan menjejaskan NDC kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2023