Isu harga siling padi: Masalah satu Malaysia

Nurul Syazwani Noh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu harga siling padi adalah satu masalah yang bukan sahaja berlaku di kawasan Permatang, tetapi juga di seluruh Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, Permatang merupakan antara kawasan pengeluaran padi di Selangor Utara yang mana kawasan Sawah Sempadan merupakan satu daripadanya.

- Advertisement -

“Di sana kita memang ada masalah mengenai isu harga siling padi, yang mana harga padi kita walaupun telah dinaikkan kepada RM1,300 tetapi saya rasa kerajaan boleh naikkan lagi harga tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kerajaan dicadangkan boleh menaikkan lagi harga siling padi daripada RM1,300 kepada antara RM1,400 hingga RM1,500 bagi menghadapi masalah kekurangan beras tempatan yang berlaku pada masa ini.

Tambah beliau, ramai pesawah tidak mahu menjual beras tempatan kepada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) susulan daripada harga siling padi yang ditetapkan adalah terlalu rendah.

“Masalah kita sekarang ialah isu padi lokal iaitu apabila harganya terlalu rendah, maka ramai pesawah tak nak hantar dan juga enggan  jual kepada BERNAS dan sebagainya.

“Ini diikuti dengan isu pemutuan padi yang mana padi kita sekarang ini sangat tinggi katanya sehinggakan ada yang ambil sehingga 18 ke 20 peratus dan saya dengar BERNAS ambil sampai 20 peratus, yang mana perkara sebegini harus dilihat semula,” ujarnya.

Beliau menyatakan, kerajaan perlu menurunkan sedikit peratusan pemutuan padi bagi memudahkan para petani dalam negara ini terutamanya di kawasannya Permatang.

Kata beliau, golongan petani di negara  inimemainkan peranan penting dalam menyediakan bekalan beras tempatan di Malaysia.

“Jadi, saya harap kerajaan boleh mempertimbangkan semula cadangan-cadangan ini kerana kita harus fikir juga nasib para petani yang telah banyak berjasa dalam menyediakan bekalan makanan asas untuk rakyat negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -