KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan Malaysia untuk memotong subsidi minyak atau petroleum bermula bulan Jun 2024 menunjukkan rakyat resah, merujuk kepada reaksi negatif dalam kalangan pengguna internet.
Menurut kajian QGenAnalysts yang berpangkalan di Singapura, kesimpulan tersebut adalah berdasarkan bacaan dapatan Analitika Ilmuwan menunjukkan, masih sama dengan dapatan sebelum ini pada bulan April di ketiga-tiga platform media sosial utama.
Laporan tersebut menunjukkan, data melalui platform Facebook telah mendapat respons kira-kira 40,000 interaksi dan 99 peratus daripadanya memberikan respons negatif terhadap cadangan kerajaan untuk memotong subsidi minyak.
Sementara laporan yang sama juga berkata, 90 peratus respons daripada sekitar 11,000 interaksi menunjukkan reaksi negatif melalui platform X, berkenaan cadangan kerajaan tersebut.
Tambah laporan tersebut, terdapat kira-kira 27,000 interaksi di platform TikTok, menyaksikan 90 peratus daripadanya memberikan respons negatif terhadap cadangan kerajaan tersebut.
“Baru-baru ini akhbar Singapura, The Straits Times telah melaporkan bahawa kerajaan akan memotong subsidi bahan api bermula pada Jun 2024.
“Akhbar itu juga mendakwa bahawa terdapat perbincangan oleh beberapa kementerian berkenaan isu ini pada 3 Mei 2024. Pemotongan subsidi ini dikatakan akan memberi kesan sokongan rakyat terhadap kerajaan sedia ada,” ujar kenyataan tersebut.
Walaupun begitu, menurut kenyataan QGenAnalysts bahawa laporan ini telah disangkal oleh Menteri Komunikasi dan Perdana Menteri dengan menyatakan bahawa akhbar antarabangsa tersebut tidak beretika kerana menyerang kerajaan dengan berita negatif.
“Antara komentar yang signifikan adalah seruan kepada kerajaan untuk menyaman media antarabangsa tersebut atas laporan palsu.
“Netizen juga menuntut penjelasan yang lebih terperinci mengenai pelaksanaan langkah-langkah subsidi bersasar dan pengurangan subsidi bahan api.
“Walaupun kerajaan mengakui keperluan langkah ini meskipun tidak popular, tindakan tersebut tetap mencetus kontroversi dan kebimbangan dalam kalangan rakyat.
“Reaksi negatif yang diterima daripada pelbagai platform media sosial menunjukkan keresahan rakyat terhadap peningkatan kos sara hidup.
“Isu ini akan menjadi satu ujian penting sokongan rakyat terhadap Kerajaan Madani,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, memetik sumber akhbar Singapura The Straits Times, kerajaan Malaysia dilaporkan akan memulakan pemotongan subsidi bahan api pada bulan depan, dengan diesel menjadi bahan pertama yang diapungkan harga mengikut kadar pasaran, menurut satu laporan.
Laporan akhbar itu juga mendakwa, ia akan dilaksanakan dalam tempoh beberapa minggu selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu yang akan diadakan menjelang 11 Mei ini.
“Selepas diesel, harga runcit petrol akan dinaikkan secara berperingkat,” ujar laporan itu lagi. – HARAKAHDAILY 7/5/2024