Kantung duit negara kian tenat, rakyat tanggung beban

Shahir Adnan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perancangan Kerajaan Madani untuk memperkenalkan Akaun 3 bagi membolehkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan sebahagian caruman bulanan mereka telah menerima pelbagai kritikan daripada rakyat.

Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, perancangan tersebut akan memberi kesan kepada pencarum apabila mereka bersara kelak. 

- Advertisement -

“Beban ekonomi akan ditanggung oleh rakyat, sedangkan ini merupakan tanggungjawab kerajaan bagi mengukuhkan ekonomi negara dan mata wang Ringgit Malaysia.

“Inflasi yang tinggi bakal ditanggung dengan penggunaan duit KWSP Akaun 3 setiap masa. Tidak mustahil, Akaun 3 ini akan sentiasa ‘kering’ kerana kos sara hidup yang meningkat,” katanya  menerusi satu kenyataan media.

Shahir turut berkata, trend jualan bersih pada masa kini oleh pelabur asing di Bursa Malaysia berterusan untuk minggu ketujuh berturut-turut sebanyak RM373.5 juta aliran keluar bersih dana dicatatkan pada minggu lalu. 

“Ini merupakan satu keadaan mengerikan untuk ekonomi negara kerana petunjuk jelas menunjukkan pelabur tidak yakin untuk melabur di negara kita. 

“Ekonomi negara bakal terkesan teruk!” tegasnya. 

Justeru beliau berkata, isu ini perlu dikaji semula oleh pihak kerajaan dengan melihat kembali tujuan sebenar penubuhan KWSP yang ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) iaitu menyediakan ‘faedah persaraan’ kepada pencarum melalui pengurusan simpanan.

“Ia bukannya satu bentuk simpanan wang yang boleh digunakan sesuka hati, lebih-lebih lagi dalam mendepani cabaran ‘Negara Menua’ apabila penduduk negara ini merangkumi warganegara yang berusia lebih 60 tahun dalam pola 15.3 peratus daripada jumlah penduduk negara, menjelang tahun 2030 kelak,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2024

- Advertisement -