‘Jangan biarkan orang luar mudah masuk ke Malaysia’

Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Malaysia merupakan sebuah negara yang bermaruah dan harga diri ‘semahal-mahalnya’, maka jangan semudah itu kita membiarkan orang luar masuk ke negara kita (Malaysia) tanpa syarat yang patut dikenakan kepada setiap warganegara (asing).”

Itu penegasan Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad mengenai isu pengecualian syarat kemasukan di semua pintu masuk negara bagi warganegara dari China dan India, susulan tular sepucuk surat yang didakwa dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

- Advertisement -

“Kita faham negara kita memerlukan pertumbuhan ekonomi yang baik iaitu dengan menggalakkan pelancong luar datang ke negara dan berbelanja di sini.

“Namun, kita juga kena fikirkan dari segi sudut jangka panjang dan kesan daripada masalah sosial ekonomi yang berlaku dan kesan daripada politik sekiranya kelonggaran ini diberikan begitu rupa.

“Tidak ada perkara yang perlu kita runsing yang perlu kita bimbang kalau kita meletakkan syarat-syarat,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, yakin bahawa warga China dan India sebenarnya memahami tentang adanya syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa di Malaysia. 

Tambahnya, perkara ini tidak sewajarnya berlaku kerana sebelum ini pernah dilaporkan media bahawa lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh  antara 2018 hingga 2021.

Sehubungan itu pada 2022, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memaklumkan mengesahkan mengenai isu tersebut yang telah menyebabkan timbul pelbagai masalah sosial.

“Jadi, perkara ini juga menjadi kerunsingan kepada kita. Kalau dibiarkan berlaku akan ada masalah sosial yang lain sebagai contoh anak luar nikah dan pelbagai masalah yang berkemungkinan akan berlaku. 

“Akhirnya negara akan terpaksa menanggung kesan sosial, jadi akan muncul pula anak tanpa kerakyatan,” katanya yang berharap kerajaan dapat menjaga aspek kawalan keselamatan negara dengan baik.

Terdahulu, tular satu surat ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh bertarikh 2 Mei 2024 mengenai isu berkenaan.

Menerusi surat arahan itu, kerajaan dilaporkan bersetuju JIM membenarkan warganegara China untuk keluar dan masuk ke Malaysia tanpa mengambil kira penggunaan hampir sepenuhnya atau sepenuhnya tempoh maksima Pas Lawatan Sosial (PLS) secara terus-menerus. – HARAKAHDAILY 8/5/2024

- Advertisement -