Sidang gamat bila Paroi cadang lantik Timbalan Speaker

- Advertisement -

SEREMBAN: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan gamat apabila Kamarol Ridzuan Md Zain (PN-Paroi) mencadangkan agar DUN melantik Timbalan Speaker.

- Advertisement -

Ia susulan Speaker DUN pada masa ini, Dato’ MK Ibrahim Abd Rahman hanya mengendalikan sidang secara solo kerana tiada penyandang bagi jawatan Timbalan Speaker.

“Jika semua Ahli YB masih ingat, kita pernah cadang dan bincang pelantikan Timbalan Yang Dipertua DUN bagi mengurangkan beban Dato’ Yang Dipertua yang terpaksa bertugas secara solo sejak awal penggal ini hampir setahun.

“Maknanya bermula pukul 10 pagi hingga pukul 1 tengah hari, tiga jam duduk di bangku tersebut,” ujar beliau sewaktu Perbahasan Junjung Kasih Titah Di-Raja, Persidangan DUN Negeri Sembilan, hari ini.

Beliau mencadangkan perkara itu atas isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan di mana ia berkaitan rapat dengan bahaya kesihatan (health hazard) dan ergonomik.

Jelas beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, keperluan Speaker untuk duduk di kerusinya sehingga tiga jam sebelum berehat boleh menjejaskan kesihatan.

“Maka dengan itu, saya ingin menarik perhatian semua Ahli YB terutamanya YAB Menteri Besar selaku majikan kepada Dato’ Yang Dipertua mengambil perhatian serius kepada cadangan pelantikan Timbalan Yang Dipertua DUN yang pernah dibangkitkan sebelum ini.

“Isu ni sangat signifikan kerana Dato’ Yang Dipertua perlu duduk lama, tiga jam dalam satu-satu masa, tidak menepati Garispanduan Ergonomik, keadaan kerusi yang tidak ergonomik, ditambah usia yang lanjut dan mungkin ada keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan,” ujarnya.

Sewaktu Kamarol mengaitkan Speaker yang disifatkan sebagai sudah lanjut usia dan perlu diberi kelonggaran dalam menjalankan tugasnya Datuk Mohd Asna Amin (BN-Lenggeng) mencelah mempertahankan Speaker.

“Itu saya bangkang, saya bangkang. Mana ada usia lanjut,” katanya di mana terdahulu, sewaktu Kamarol sedang membahaskan perkara itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun juga mencelah dan bertanya perkara itu kepada Speaker.

“Dato’ Speaker ada masalahkah? Kalau ada masalah kita tukar baru,” ujarnya beliau sambil disambut dengan tawa Ahli-ahli Dewan.

Speaker, Dato’ MK Ibrahim Abd Rahman kemudiannya meminta agar nama beliau tidak dipetik dalam cadangan tersebut dan menafi menghadapi masalah kesihatan disebabkan tugas beliau ketika ini.

“Saya tidak ada masalah. Jadi janganlah YB-YB semua petik nama saya. Saya (rasa) tersiksa fasal saya kena. Nak cadanglah bolehlah, tetapi jangan petik nama saya atau kesihatan saya.

“Saya keluar makan kambing pun orang tak sebut apa-apa dekat sini,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 7/5/2024

- Advertisement -