Kerajaan digesa bantu peniaga ‘uptown’ Senawang

- Advertisement -

SEREMBAN: Kamarol Ridzuan Md Zain (PN-Paroi) menggesa kerajaan agar membantu peniaga-peniaga Uptown Senawang yang hilang mata pencarian setelah lokasi itu ditutup.

- Advertisement -

“Saya ingin membawa perhatian khususnya kepada YB Exco bertanggungjawab kepada satu isu tempatan iaitu berkenaan 54 peniaga yang sebelum ini berniaga di kawasan dipanggil ‘uptown’ di Dataran Senawang.

“Saya telah bertemu beberapa peniaga berkenaan yang datang meluahkan rasa hati dan memohon jasa baik pihak kerajaan negeri untuk membantu mereka,” ujar beliau sewaktu Perbahasan Junjung Kasih Titah Di-Raja, Persidangan DUN Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat daripada para peniaga terlibat, kawasan mereka menjalankan perniagaan mereka sebelum ini telah ditutup oleh tuan tanah atas sebab tertentu.

“Peniaga-peniaga ini masih berminat meneruskan perniagaan yang sama tetapi memerlukan kawasan alternatif supaya boleh berniaga secara berkelompok seperti konsep ‘uptown’ sebagaimana sebelumnya.

“Saya melihat sebahagian besar peniaga tersebut adalah daripada kalangan anak muda yang sedang meningkatkan taraf ekonomi masing-masing dan kita perlu santuni,” ujarnya.

Kamarol yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan berkata, beliau malah mendapatkan maklum balas daripada penduduk sekitar kawasan itu di mana turut merasa kehilangan apabila kawasan perniagaan itu ditutup.

“Seperti kita maklum, konsep ‘uptown’ begini menawarkan kepelbagaian variasi keperluan rakyat marhaein pada harga yang relatif murah berbanding sebahagian kedai dan pasar raya,” katanya.

Dalam ucapan sama beliau turut membangkitkan isu kadar sewa tapak bazar Ramadan yang berbeza-beza dan mahal serta membebankan sehingga ada mencecah RM17,000.

“Justeru, saya memohon respon daripada YB Exco berkenaan untuk mengambil cakna permintaan ini. Saya dan pasukan saya dari Pusat Khidmat Masyarakat DUN Paroi sedia menjadi mediator bagi melancarkan perbincangan antara pihak kerajaan negeri dan peniaga berkenaan.

“Saya bersungguh dalam perkara ini kerana yakin peniaga ‘uptown’ berkenaan dan penduduk di DUN Paroi saling memerlukan antara satu sama lain,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/5/2024

- Advertisement -