N9 capai sifar miskin tegar: Tak sama data DOSM

- Advertisement -

SEREMBAN: Pengumuman kerajaan bahawa Negeri Sembilan telahpun mencapai sasaran ‘sifar miskin tegar’ pada penghujung tahun 2023 disifatkan sebagai satu kenyataan tidak bertanggungjawab.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, ini disebabkan data-data dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tidak menunjukkan begitu.

“Dapatan Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa kemiskinan tegar di bandar meningkat daripada 3.8 peratus dalam tahun 2019 kepada 4.5 peratus dalam tahun 2022.

“Dapatan juga melaporkan 20 isi rumah M40 telah jatuh ke B40 akibat pandemik COVID-19. Seramai 1,746 daripada 3,530 ketua isi rumah (KIR) di Negeri Sembilan telah berjaya dikeluarkan daripada status miskin tegar.

“Jumlah ini direkodkan sehingga 31 Oktober 2023 berdasarkan statistik data e-Kasih seperti yang dilapor oleh Pejabat Pembangunan Negeri,” katanya sewaktu Perbahasan Junjung Kasih Titah Di-Raja, Persidangan DUN Negeri Sembilan, hari ini.

Beliau selaku juga Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Sembilan menambah, keadaan dihadapi rakyat adalah harga barangan yang naik dahulu sebelum gaji naik.

“Kebanyakan anak-anak muda yang mula bekerja menerima pendapatan lebih kurang RM2,000 sebulan jika dicampur gaji asas dan elaun.

“Saya ingin tegaskan ketika saya mula bekerja 24 tahun yang dahulu saya juga menerima gaji yang serupa. Cuma bezanya harga barangan kini dan dahulu jauh berbeza,” ujar beliau.

Tambah Hanifah, kehadiran rakyat di pusat khidmat beliau meluahkan masalah dan kesusahan mengharungi zaman kenaikan barangan yang menggila ini menjadi bukti miskin tegar masih banyak di negeri itu.

“Kerajaan perlu menyemak semula pendirian mereka berkenaan miskin tegar ini. Kajian yang lebih teliti harus dijalankan. Statistik data e-Kasih tidak boleh dijadikan panduan semata-mata,” ujarnya.

Katanya lagi, walaupun Negeri Sembilan memulakan langkah 2024 dengan pelbagai insentif kepada rakyat tetapi sehingga kini kebanyakan insentif ini tidak sampai kepada golongan sepatutnya menerima.

“Segala insentif kerajaan harus sampai kepada golongan sepatutnya melalui wakil-wakil kerajaan seperti ketua kampung, ahli-ahli majlis dalam memastikan ia sampai kepada semua penduduk di kampung, FELDA dan taman-taman perumahan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/5/2024

- Advertisement -