‘Adakan semula sambutan ulang tahun pengisytiharan Rukun Negara’

Dato' Seri Saifuddin Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan disarankan agar melaksanakan semula sambutan ulang tahun pengisytiharan Rukun Negara yang kini sudah mencecah usia 53 tahun sejak diperkenalkan oleh Yang di-Pertuan Agong 13 pada 31 Ogos 1970.

Dato’ Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) berkata, ia menjadi pegangan dan panduan oleh seluruh rakyat bagi memupuk dan mengukuhkan semangat perpaduan, ketaatan dan kecintaan kepada bangsa dan negara.

- Advertisement -

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini telah merancang untuk mengadakan majlis itu edisi ke 50, namun penganjuran tersebut terpaksa dihentikan akibat penularan wabak Covid-19 dan tidak diteruskan sehingga kini.

“Saya mahu cadangkan untuk pertimbangan Menteri kalau tahun 2025 itu sambutan 55 tahun, jadi tahun depan itu boleh dibuat perancangan ini dan saya rasa kita perlu ada sesuatu yang agak luar biasa sedikit majlis.

“Hal ini adalah agar Rukun Negara dapat dihayati dengan sebaik-baik oleh rakyat malaysia, saya nak cadangkan itu selain program-program yang disebut, untuk tahun 2025 nanti buat sambutan besar-besar,” katanya.

Menteri Perpaduan Negara, Dato’ Seri Aaron Ago anak Dagang pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat di sini,  hari ini, menjelaskan kerajaan sentiasa terbuka menerima pandangan untuk kebaikan dan manfaat negara.

Beliau berkata, Rukun Negara dibentuk dengan tujuan utama iaitu membentuk perpaduan kukuh dalam kalangan rakyat, menjadi identiti rakyat Malaysia dan mewujudkan perpaduan lebih erat dalam masyarakat.

Bagi tujuan itu, katanya lagi, kerajaan menubuhkan 122 Skuad Kawasan Rukun Tetangga (KRT), 6,847 Kelab Rukun Negara di Sekolah dan 188 Sekretariat Rukun Negara di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan.

“Saya pun telah mendapat maklum balas berkenaan dengan lafaz ikrar Rukun Negara di dewan (rakyat) ini tetapi keputusan peringkat akhir belum dapat lagi. Kita harap ia dapat diluluskan agar kita dewan ini (meraikannya) sekurang-kurangnya satu tahun sekali..

“Cadangan tadi kita akan ambil kira, diharapkan mungkin bersamaaan sambutan minggu perpaduan kita akan selitkan program Rukun Negara ini secara besar-besaran sebab sambutan ini satu dahulu kita pernah laksanakan seluruh negeri serentak,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2023

- Advertisement -