Terengganu miliki ladang kelapa terbesar di Malaysia

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Projek Komersial Penanaman Kelapa di Kampung Banggol, Setiu dijangka mampu mengeluarkan lebih 18 juta biji kelapa setahun.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek berkenaan antara usaha kerajaan negeri memperluaskan kawasan penanaman kelapa. 

- Advertisement -

Menurutnya, projek yang melibatkan pelaburan sebanyak RM19 juta itu akan menjadikan kawasan ladang kelapa yang terbesar di Malaysia.

“Pemilihan benih varieti kelapa yang sesuai dititik beratkan. Antara yang disyorkan Jabatan Pertanian iaitu kelapa matag, kelapa Rendah Merah Malaya (MRD).

“Selain itu kelapa Rendah Kuning Malaya (MYD) dan kelapa pandan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian di antara Pejabat Daerah Setiu (PDS), Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) dan LRT Agribusiness SDN BHD (LRTA) bagi projek penanaman tersebut. 

Projek tersebut akan dilaksanakan di Kampung Banggol Mukim Tasik dan Mukim Caluk, Setiu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Dr Azman Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Dato’ Satiful Bahari Mamat.

Menteri Besar juga berkata, projek tanaman kelapa secara komersial membolehkan Terengganu meningkatkan tahap sara diri kelapa sehingga 148 peratus bagi tahun pertama tuaian.

Menurutnya juga penubuhan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Hasil Pertanian Kelapa di Daerah Setiu dapat menjana pendapatan penduduk tempatan. 

“Projek Komersial Penanaman Kelapa turut menyasarkan untuk menempatkan komponen rantaian pengeluaran kelapa secara bersepadu di bawah satu bumbung dengan penubuhan kilang pemprosesan kelapa. 

“Kilang terbabit dijangka menawarkan 70 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan. Kita harap usaha tersebut dapat mengangkat martabat sektor pertanian di Terengganu,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2023

- Advertisement -