Soalan rindu dendam Ahli Parlimen Pendang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) menggamatkan Dewan Rakyat apabila menyifatkan soalan tambahannya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri sebagai soalan rindu dendam.

Menurutnya, peluang untuk bercakap secara langsung dengan Perdana Menteri digunakan untuk mengemukakan dua hingga tiga soalan dalam satu soalan.

- Advertisement -

Mengikut amalan biasa soalan tambahan di Dewan Rakyat, hanya satu soalan dibenarkan.

“Soalan agak panjang, saya rangkum dua tiga soalan dalam satu soalan,” katanya yang soalan asalnya adalah antara tiga soalan yang diperuntukkan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Beliau kemudian mengemukakan soalan, iaitu: “Apakah pendekatan kerajaan untuk meningkatkan kuasa beli rakyat dengan mengambil kira penyusutan nilai matawang ringgit.

“Apakah tindakan kerajaan untuk meningkatkan hasil pendapatan rakyat bagi membantu golongan B40 dan M40 susulan peningkatan harga barangan keperluan isi rumah dan apakah langkah untuk membantu sektor pembuatan akibat kejatuhan nilai ringgit.

“Apakah implikasi terhadap perbelanjaan subsidi makanan dari kerajaan dan perbelanjaan bulanan rakyat akibat kenaikan kos makanan import, berapakah perbelanjaan kerajaan yang meningkat akibat kejatuhan nilai ringgit dan berapa ramai isi rumah yang dikenal pasti terkesan akibat kenaikan kos makanan import,” katanya.

Dalam soalan asalnya, Awang meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh manakah keberkesanan langkah Kerajaan dalam menangani impak kejatuhan nilai ringgit yang semakin merudum sehingga mencecah paras RM4.73 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta implikasi secara menyeluruh termasuk golongan M40 yang sebahagian mungkin tidak akan menerima bahan api bersubsidi susulan pengenalan sistem subsidi bersasar.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan soalan Ahli Parlimen Pendang sebagai penting berkata, kejelasan dasar ekonomi, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dapat membantu menarik pelaburan dan mengukuhkan kedudukan nilai ringgit.

Katanya, prestasi ringgit pada tahun ini sebahagian besar didorong oleh faktor luaran seperti pengukuhan dolar AS yang mendadak berikutan kadar faedah negara itu yang lebih tinggi, serta keadaan ekonomi China yang lebih lemah daripada jangkaan. – HARAKAHDAILY 10/10/2023

- Advertisement -