Konflik Hamas-Israel: Nilai ringgit makin jatuh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani perlu bersikap serius dalam menangani krisis kejatuhan ringgit kerana ia memberi impak besar kepada institusi perniagaan tempatan terutamanya yang berkaitan dengan sektor import, tambahan susulan konflik Hamas-Israel ketika ini.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan menggesa pihak kerajaan untuk memperincikan lagi langkah-langkah yang perlu diambil dalam tempoh terdekat terutama pada Belanjawan 2024, yang akan berlangsung pada Jumaat (13 Okt) ini.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan menggesa pihak kerajaan untuk memperincikan lagi langkah-langkah yang perlu diambil dalam tempoh terdekat terutama pada Belanjawan 2024, yang akan berlangsung pada 13 Okt (Jumaat) nanti.

Beliau berkata, hal ini bertujuan bagi mengekang nilai Ringgit dari terus terperosok jatuh merudum.

Sudah hampir setahun, Malaysia ditadbir oleh Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, nilai ringgit kian jatuh ke paras terendah iaitu RM3.75 setiap 1 Dolar AS.  

Harga makanan bakal terima tempias

Namun begitu, konflik yang berlaku antara Israel dan Palestin turut  memberikan impak besar kepada ekonomi dunia dan harga minyak. 

Shahir Adnan

“Walaupun Israel dan Palestin bukan pengeluar minyak terbesar, tetapi mereka adalah pintu masuk kepada Asia Barat. 

“Harga minyak mentah Brent melonjak lebih daripada 5 peratus (%) kepada AS$89 setong apabila konflik meletus beberapa hari lepas,” jelasnya kepada HarakahDaily.

Shahir turut memberitahu, walaupun negara kita salah satu negara pengeluar minyak dunia, namun, kebergantungan kita kepada bahan-bahan import menyebabkan harga bahan mentah bakal meningkat dengan mendadak. 

“Akibatnya, harga makanan turut akan menerima tempias,” tegasnya. 

Oleh itu, beliau yang juga merupakan Pengerusi IKATAN Negeri Kelantan turut mencadangkan tiga langkah jangka pendek bagi mengukuhkan nilai ringgit. 

“Pertama, Kerajaan Madani perlu mempergiatkan lagi kempen pembelian barangan buatan tempatan kepada rakyat di negara ini. 

“Kedua, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) perlu bekerjasama dengan agensi-agensi seangkatannya untuk merancakkan lagi sektor pelancongan dalam negara. 

“Langkah seterusnya, Kerajaan Madani perlu melaksanakan kawalan ringgit dengan pengeksport iaitu menukar hasil mereka dalam mata wang asing kepada ringgit. 

“Ini semua adalah antara langkah-langkah sementara yang dilihat mampu menyokong permintaan terhadap ringgit,” jelasnya.

Elak proksi, ‘tauke’ pro-Barat, pro-Zionis

Justeru, beliau turut menyokong perjuangan rakyat Palestin yang mahukan keadilan daripada terus ditindas oleh regim Zionis. 

Tambahnya, di samping membantu menyalurkan bantuan kepada Palestin, Malaysia juga perlu mengelakkan daripada kebergantungan kepada proksi-proksi atau ‘tauke-tauke’ besar yang pro-barat atau pro-Zionis. 

“Oleh sebab itu, amatlah wajar untuk Kerajaan Madani meneliti kembali dasar-dasar import-eksport negara di samping mengukuhkan pasaran Industri Kecil Sederhana (IKS) dalam negara.

“Kerajaan Madani pada masa ini perlu memberikan keutamaan kepada masalah rakyat kerana ramai yang terus terbeban dengan kos sara hidup yang kian meningkat dari semasa ke semasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -