Galakkan pekebun kecil getah hasilkan lateks

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Abdul Nasir Idris mencadangkan kepada kerajaan supaya menggalakkan pekebun kecil getah mengeluarkan susu getah (lateks) sebagai antara usaha meningkatkan pendapatan golongan berkenaan.

Katanya, penghasilan lateks berbanding getah sekerap (cup lump) boleh memberikan pendapatan berganda kepada pekebun kecil.

- Advertisement -

“Kita masih mengimport lateks yang bernilai antara RM1 bilion hingga RM3 bilion setahun. Apakah usaha kerajaan supaya pekebun kecil atau mereka yang terlibat dalam industri getah menukar daripada daripada cup lump kepada lateks?

“Nak ubah dia punya (corak)…dan kita faham bahawa bentuk lateks lebih mahal, lebih menguntungkan pekebun kecil, selain inisiatif yang dikatakan bagi RM1 sekilogram.

“Apakah usaha agresif lain kerajaan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kita,” katanya ketika mencelah ucapan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching pada sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Negara, hari ini.

Siti Aminah pula berkata, penghasilan lateks agak sukar menyebabkan pekebun kecil perlu berusaha lebih keras.

Namun, katanya kerajaan memberikan insentif tunai sebanyak RM1 sekilogram bagi 100 peratus kandungan getah kering dan juga memberikan bantuan berbentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850 bagi setiap hektar secara terus.

“Apabila mereka (pekebun) membuat lateks, mereka dapat hasilkan lagi banyak, kalau mereka dapat hasilkan lateks dalam sehari 100 kilogram, bermakna mereka dapat RM100.

“Jadi itulah antara inisiatif kerajaan upaya mereka terus membuat bekalan lateks berbanding cup lump,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/9/2023

- Advertisement -