Kedutaan Cuba di AS dibom

Presiden Cuba, Miguel Díaz-Canel. (FOTO: The St Kitts & Nevis Observer)
- Advertisement -

WASHINGTON: Kedutaan Cuba di Washington diserang hanya beberapa jam selepas pemimpin Cuba, Miguel Díaz-Canel, yang menghadiri beberapa acara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York minggu lalu, tiba di ibu negara Cuba, Havana.

Menteri luar Cuba, Bruno Rodriguez berkata kejadian pada lewat malam Ahad (24 Sept) itu telah dijadikan sasaran serangan pengganas oleh seorang individu yang melancarkan dua koktel Molotov, yang menambah bahawa  semua kakitangan  kedutaan itu selamat, dan siasatan sedang dilakukan. 

- Advertisement -

Rodríguez berkata, ia adalah ‘serangan ganas kedua terhadap misi diplomatik Cuba’ sejak April 2020, lapor Miami Herald.

Dalam kejadian pada 30 April 2020 itu,  seorang lelaki kelahiran Cuba yang bergelut dengan masalah kesihatan mental, Alexander Alazo telah melepaskan tembakan ke arah kedutaan  itu dengan menggunakan senapang  AK -47. 

Pada masa itu, Rodríguez menyeru pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk menyiasat kes itu sebagai tindakan pengganas, mengatakan Alazo menghadiri sebuah gereja di Doral yang beliau dakwa sebagai tempat berkumpul untuk orang yang dikenali bagi  mempromosikan ‘pencerobohan, permusuhan, keganasan, dan ekstremisme terhadap Cuba’,  walaupun tidak memberikan bukti terhadap dakwaannya itu.

Dalam serangan terbaharu itu, Rodríguez tidak memberikan sebarang butiran mengenai serangan  tetapi berkata ia bermotifkan politik dan menyalahkan pihak yang menentang kerajaannya. 

“Kumpulan anti-Kuba menggunakan keganasan apabila merasakan mereka menikmati kebebasan daripada hukuman, sesuatu yang Cuba telah berulang kali memberi amaran kepada pihak berkuasa AS,” tulisnya dalam media sosial X.

Pejabat Misi Luar Biro Keselamatan Diplomatik Jabatan Negara AS adalah bertanggungjawab untuk melindungi kedutaan dan konsulat asing di Amerika Syarikat. – HARAKAHDAILY 25/9/2023

- Advertisement -