Nak ‘adjust’ harga sesuap nasi untuk rakyat pun Umno tak mampu

- Advertisement -

PERIKATAN NASIONAL memenangi 17 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, sama banyak dengan kerusi BN tetapi kerajaan negeri dibentuk hasil gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

PN memenangi kerusi DUN Cheka, Tanjung Lumpur, Luit, Chenor, Bukit Ibam, Kuala Sentul, Tahan, Damak, Pulau Tawar, Jengka, Beserah, Pulau Manis, Lanchang, Kuala Semantan, Panching, Lepar dan Sungai Lembing.

BN pula menang di Inderapura, Benta, Jenderak, Padang Tengku, Batu Talam, Kemayan, Jelai, Guai, Kerdau, Dong, Muadzam Shah, Peramu Jaya, Chini. Pelangai, Bebar dan Sabai.

PH menerusi DAP pula memenangi DUN Tanah Rata, Tras, Triang, Mentakab, Bilut dan Ketari manakala PKR menang di Semambu dan Teruntum.

Kerusi yang dimenangi PERIKATAN NASIONAL menerusi calon daripada PAS dan Bersatu adalah kawasan majoriti pengundi Melayu.

Dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight sedikit masa dahulu, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menyebut PAS tumbuh kuat kerana kesedaran agama yang meningkat dalam kalangan orang Melayu serta lemahnya kepimpinan parti-parti Melayu.

Beliau berpandangan, Umno dan PH tiada kesatuan, menyebabkan pengundi lari kepada PAS.

Menurutnya lagi, PAS dan Islam versinya jadi tarikan kepada orang Melayu kerana apabila mereka tidak pasti, mereka condong untuk berpaling kepada agama.

“Apabila orang Melayu makin tua, mereka mula ingat kepada Allah dan PAS jadi penyelamat mereka,” tambahnya.

Bekas Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Shahidan Kassim, yang bertanding atas tiket PN pada PRU15 lalu, turut senada.

Beliau menegaskan bahawa orang Melayu tiada pilihan lain terbaik selain PN dan untuk merealisasikan kemenangan di PRK Pelangai, penduduk Pelangai berjumlah 16,456 orang majoriti Melayu perlu bersatu memilih PN.

“Orang Melayu mesti bersatu. Melayu dah 70 peratus dah, sekarang ni kita nak minta orang Felda tunjukkan kesatuan Melayu, bukan nak tolak BN, tak.

“Kita nak cari satu parti yang orang Melayu boleh menumpang, yang orang Melayu boleh menumpang adalah PN,” katanya yang juga Ahli Parlimen Arau.

Tiada lagi yang boleh diharap kepada BN dan Umno untuk menjaga kebajikan orang Melayu, jauh sekali menaikkan taraf ekonomi mereka.

Untuk ‘adjust’ harga dan cukupkan bekalan bagi sesuap nasi pun Umno yang berada dalam kerajaan BN-PH tidak mampu berbuat apa-apa untuk menolong orang Melayu dalam suasana harga beras dan barangan keperluan harian semakin meningkat.

Justeru, bagi warga DUN Pelangai khususnya para pengundi supaya menggunakan peluang pada PRK kali menzahirkan sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL.

Calon PERIKATAN NASIONAL, Cikgu Kasim adalah anak jati DUN Pelangai.

Sebagai calon anak tempatan, pastinya beliau memahami keluh kesah dan denyut nadi warga Pelangai.

Muafakat, Berkat dan Makmur yang menjadi dukungan sepanjang kempen, menjadikan beliau bersedia untuk menggalas tanggungjawab dan berkhidmat untuk warga Pelangai.

Siaran ulangan, “Allah dah bagi peluang dua kali pilihan raya di DUN Pelangai pada penggal yang ke-15 ini, tak kan orang Pelangai tak terfikir ‘mesej’ ini”. – HARAKAHDAILY 25/9/2023