PRK KKB: PN kalah bermaruah, petisyen akan dikemukakan

Nadzir Helmi selepas keputusan PRK KKB diumumkan di Bilik Gerakan Utama PERIKATAN NASIONAL di Hulu Selangor, Selangor pada malam ini, 11 Mei 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Khairuizzah Helmi Azhar)
- Advertisement -

HULU SELANGOR: PERIKATAN NASIONAL (PN) menyifatkan kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) sebagai bermaruah, dengan penurunan majoriti kepada 3,869 berbanding 4,119 majoriti yang diraih Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas.

PH menerusi calonnya, Pang Sock Tao memperoleh 14,000 undi, sekali gus menewaskan PN yang diwakili Khairul Azhari Saut yang mendapat 10,131 undi manakala calon Bebas, Nyau Ke Xin meraih 188 undi dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) hanya 152 undi.

- Advertisement -

Keputusan rasmi PRK KKB itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Yuhanas Auree Kamaruddin di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK KKB di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini, malam ini.

Ketua Penerangan Pemuda PN, Nadzir Helmi dalam kenyataannya berkata, isu petisyen pilihan raya yang diumumkan sebelum ini akan dikemukakan jika PN kalah pada PRK KKB, bakal direalisasikan.

“Kita akan kaji semula dan meneruskan untuk mengemukakan petisyen pilihan raya seperti yang dimaklumkan sebelum ini,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di Bilik Gerakan Utama PN di Batang Kali, di sini, malam ini.

Terdahulu, Ketua Whip Pembangkang merangkap Setiausaha Agong PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan media pada 6 Mei 2024 berkata, PN akan mengemukakan petisyen pilihan raya jika PH memenangi PRK DUN KKB.

“Tindakan tersebut susulan kerajaan telah melakukan salah guna kuasa dan jentera sebelum dan ketika kempen PRK KKB berlangsung,” katanya.

Undi PH lebih teruk merosot berbanding PN

Sementara itu Pengarah PRK KKB PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam sidang media pada malam ini berkata, PN tidak terkesan dengan kekalahan kepada PH dalam PRK di DUN KKB kali ini, kerana undi PH lebih teruk merosot berbanding PN.

Pada PRN 2023, PN meraih 10,743 undi manakala dalam PRK 2024, PN memperoleh 10,131 yang menunjukkan kemerosotan undi sebanyak 612; berbanding PH yang merosot sebanyak 862 undi merujuk kepada undi yang diraih (mendiang) Lee Kee Hiong dalam PRN 2023 sebanyak 14,862, sedangkan Sock Tao dalam PRK 2024 ini hanya memperoleh 14,000 undi.

Mohamed Azmin juga berkata, peratusan keluar mengundi pada PRK KKB menunjukkan penurunan kepada 61.51 peratus daripada 69 peratus dalam PRN 2023.

“Penurunan sokongan (undi yang diraih PN dalam PRK KKB) itu kecil berbanding penurunan peratusan keluar mengundi kali ini.

“Faktor penurunan peratusan mengundi mungkin disebabkan faktor kerja, cuaca dan sebagainya kerana kadang-kadang anak muda memilih mengundi pada waktu petang. Tetapi ia (secara hakikinya) tidak menjejaskan sokongan kepada PN,” katanya.

Berdasarkan rekod SPR, DUN KKB mempunyai 40,226 pengundi dengan 39,362 pengundi biasa, 625 pengundi anggota polis dan pasangan, 238 pengundi tentera dan pasangan serta seorang pengundi luar negara.

Daripada 39,362 pengundi biasa, mereka yang keluar menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu pada PRK KKB hari ini dilaporkan seramai 24,145 orang.

Kira-kira 46 peratus pengundi terdiri Melayu, Cina (30 peratus), India (18 peratus), manakala bakinya masyarakat Orang Asli. PRK DUN KKB diadakan susulan kematian penyandang kerusi daripada DAP, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac 2024 akibat kanser. – HARAKAHDAILY 11/5/2024

- Advertisement -