Khairul Azhari tekad menang kerusi DUN KKB

Khairul Azhari dalam sidang media di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor selepas hadir di sini untuk membuat tinjauan proses pengundian PRK KKB pada hari ini, 11 Mei 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

HULU SELANGOR: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Khairul Azhari Saut hadir membuat tinjauan proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pemangku Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tiba di pusat pengundian berkenaan pada jam 8.25 pagi dan meluangkan masa kira-kira 30 minit di pusat pengundian berkenaan yang dibuka sejak 8 pagi.  

- Advertisement -

Sehubungan itu Khairul Azhar berkata, beliau tekad untuk menang kerusi DUN KKB kali ini.

“Harapan saya sudah pasti untuk menang kerusi DUN KKB,” katanya ketika ditanya mengenai harapannya di pilihan raya kecil ini.

“Saya agak yakin dengan gerak kerja kita dalam tempoh dua minggu ini,” tambah beliau.

Beliau juga dalam pada itu, menggesa agar pengundi keluar awal bagi dikhuatiri cuaca akan hujan pada tengah hari ini.

PRK KKB 2024 menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Khairul Azhari dengan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao; calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin; dan calon Bebas, Nyau Ke Xin. 

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac 2024 akibat kanser. – HARAKAHDAILY 11/5/2024

- Advertisement -