Empat pasukan DUN Ajil bantu PRK Pelangai

Ustaz Maliaman Kassim
- Advertisement -

HULU TERENGGANU: Empat pasukan jentera PAS daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil akan diturunkan bagi membantu kempen PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai.

- Advertisement -

Adun Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, empat pasukan yang terdiri lapan orang setiap sekumpulan akan turun secara berperingkat juga sebagai membalas jasa ahli-ahli PAS dari Bentong yang membantu pihaknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

“Pelangai kita diberi arahan dan tugasan PAS negeri tapi khusus untuk orang Ajil sebagai membalas jasa ahli-ahli daripada Bentong yang bantu kami di parlimen baru-baru ni termasuklah calon iaitu Cikgu Kasim pernah datang di sini untuk bantu kami. Jadi kami akan balas jasa mereka.

“Jumlah jentera kita tidak tahu lagi, anggaran dalam satu pasukan lapan orang, kita ada empat gelombang, pergi balik, sampai kepada PRK,” katanya.

Pendekatan kempen yang digunakan, beliau berkata ialah media sosial (medsos) dan berjumpa pengundi diutamakan.

“Bentuk kempen tentulah penggunaan medsos dan jumpa pengundi macam biasa, cuma kita tidak tahu lagi suasana di Pelangai ini.

“Bila kita nak berkempen tentu kita kena memahami sasaran kita tu orang bagaimana. Orang Felda lain pemikirannya dengan orang kampung tradisional, orang muda Terengganu tidak sama dengan orang muda di Pelangai, jadi kita kena kaji dulu.

“Cara kajian bila kita pergi sana kita akan ambil maklumat petugas parti di situ,” ujarnya yang juga Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri ketika ditemui Harakahdaily, selepas Program Inspirasi Suri Sejahtera di Dewan Yayasan Salim RAKR Tok Randok, Ajil, hari ini.

Beliau berkata, perbelanjaan jentera sepanjang berkempen di Pelangai menggunakan peruntukan sendiri.

“Belanja kita sendiri, kita pergi bawa bekalan belanja dan kita bantu. Kita tidak harap orang situ tolong dari segi makan minum,” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Terengganu. – HARAKAHDAILY 25/9/2023

- Advertisement -