KUALA LUMPUR: Senator Dato’ Husain Awang mencadangkan tanah wakaf di kawasan pedalaman negara dimajukan dengan projek pertanian supaya isu bekalan makanan negara dapat diatasi.
“Saya dimaklumkan bahawa tanah wakaf di seluruh negara, sebahagian besar agak luas dan berada di kawasan pedalaman yang mempunyai potensi untuk pembangunan projek pertanian
“Ini mungkin boleh dibuat melalui kerjasama dengan institusi, koperasi dan komuniti setempat. Bagaimana kita mahu gerakkan supaya dapat memanfaatkan sebahagian tanah yang luas di pedalaman dalam konteks untuk program pembangunan makanan sekarang yang kritikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah penggulungan sesi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di Dewan Negara, hari ini.
Mohd Na’im ketika mengulas celahan itu berkata, cadangan berkenaan akan diambil perhatian untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kita akan bawa dalam perbincangan bersama majlis agama Islam negeri di bawah Yayasan Wakaf Malaysia dan akan diputuskan di situ,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/9/2023.