Warga asing ganas `curi’ minyak bersubsidi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sikap keterlaluan warga Singapura di Johor Bahru yang `mencuri’ minyak bersubsidi dua hari lalu yang viral di media sosial, dibangkitkan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai di Dewan Negara, hari ini.

Presiden Gerakan itu berkata isu petrol bersubsidi adalah isu yang hangat dibicarakan dan baru-baru ini, warga Singapura datang ke Johor Bahru dan mengisi minyak ke dalam tong.

- Advertisement -

“Mereka bersikap keterlaluan apabila ditegur. Sehubungan itu, apakah tindakan yang diambil terhadap warga asing yang bertindak demikian,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Klip video di media sosial baru-baru ini, memaparkan dua warga asing yang dipercayai Singapura, bertindak keterlaluan terhadap seorang penghantar e-hailing yang menegur mereka kerana membeli minyak tidak bersubsidi di sebuah stesen minyak di Johor Bahru.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh, mengakui tindakan warga asing yang sanggup bertindak demikian semata-mata untuk mendapatkan minyak murah.

Katanya, tindakan itu kerana bukan saja minyak bersubsidi, malah minyak tidak bersubsidi di negara ini lebih murah berbanding harga minyak di negara mereka.

Sebagai contoh, katanya harga petrol di Thailand ialah RM4.71 seliter berbanding harga minyak tidak bersubsidi RON 95 di Malaysia, RM2.95 dan minyak bersubsidi, RM2.15.

“Ini menyebabkan mereka tetap datang kerana berbaloi mendapat minyak dengan harga murah walaupun tidak bersubsidi,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2023

- Advertisement -