Sheriff vs Mat Kilau: Filem negara makin hebat

- Advertisement -

JIKA 2022 menyaksikan ‘Kebangkitan Pahlawan’ dengan kutipan mencecah RM97 juta secara keseluruhannya, maka 2024 menghidangkan ‘Narko Integriti’ dengan kutipan mencecah RM44.5 juta selepas 14 hari tayangan. 

- Advertisement -

Siapa tidak kenal dengan pengarah kedua-dua filem box office ini, adik-beradik yang mewarisi bakat seni daripada bapanya dalam industri berfileman negara. Tahniah buat keduanya. 

Persoalannya, bagaimana filem-filem ini boleh mencetuskan fenomena seterusnya mencipta ‘watak’ buat rakyat negara kita?

Kedua-dua filem ini mempunyai nilai dan kekuatannya yang tersendiri. Mat Kilau telah berjaya membawa nafas baru filem kepahlawan Melayu, melonjak semangat bangsa dalam mempertahankan agama dan negara. 

Sejarah dan tokoh pahlawan Tanah Melayu khususnya di negeri Pahang semakin dikenali dan dikaji. Seni mempertahankan diri silat semakin diminati sehinggakan penuh pusat-pusat belajar silat serata negara. 

Berkobar semangat ibu ayah supaya anak-anak menjadi persis Mat Kilau suatu hari nanti. Filem Mat Kilau kemudiannya disambung dengan sekuel “Pendekar Awang: Darah Indera Gajah” yang juga membawa tema dan objektif sama.

Kini, fenomena Sheriff pula tercipta; “Ini Malaysia Naz, Perdana Menteri pun masuk penjara”. Dialog popular oleh watak utamanya yang menusuk jiwa. 

Juga membawa nafas baru filem bertemakan kepolisan, dengan berani menonjolkan sesi gelap jenayah negara. Bagaimana sebuah institusi yang seharusnya membawa nilai integriti, rosak akibat nafsu dan amarah. 

Isu rasuah yang sekian lama membarah dalam negara kita telah berjaya dibawa dalam bentuk filem. Sebuah realiti yang menjadi tanda tanya bila ianya akan berakhir.

Jika ditelusuri dari sudut pensyariatan dalam perfileman pula, kita sedia maklum bahawa sejak filem Munafik, Syamsul Yusof sudah mula ‘menjaga’ penghasilan filemnya. 

Dari pemilihan pelakon yang menutup aurat, pergaulan, dan seluruh produksi. Ini merupakan satu nilai tambah yang cukup baik dan bermakna.

Nilai ini masih belum diwarisi oleh Syafiq Yusof sepenuhnya, namun, bakatnya yang versatile telah berjaya menghasilkan sebuah filem setaraf antarabangsa. 

Kesan visual yang baik dengan jalan cerita sarat plot twist merupakan kekuatan Syafiq Yusof sejak dahulu lagi. 

Hal ini telah berjaya menarik minat rakyat Malaysia untuk menonton filem Sheriff dan memberikan review yang mengagumkan. 

Rata-rata berpuas hati dengan karya seni anak muda ini dan berharap akan ada juga sekuel kepada filem ini seperti hint di akhir filem.

Bukan itu sahaja, kita tidak boleh menafikan aura kedua pengarah berbakat besar ini menjadi salah satu sebab filem-filem mereka  box office

Namun, kita juga tidak boleh menafikan didikan dan sokongan dari Datuk Yusof Haslam sendiri menjadikan mereka bersinar dalam bidang ini. 

Ilmu yang diwarisi, ditambah dengan minat dan pengalaman akan melahirkan penyambung legasi yang lebih hebat.

Tahun 2022 dapat kita saksikan watak masyarakat berubah menjadi semakin cinta kepada agama, bangsa dan tanah air. 

Bagaimana pula dengan tahun ini? Apa pula watak yang bakal tercipta disebalik fenomena filem Sheriff?

Seperti lagu, filem juga sebenarnya memberi impak yang sangat besar buat penonton. Skrip, dialog serta segenap inci penghasilan filem itu akan membentuk watak dan karakter masyarakat negara kita. 

Justeru, diharapkan agar cetusan fenomena dari kedua filem ini mahupun semua filem yang dihasilkan di negara berdaulat ini memberi manfaat buat semua.

Sabda Rasulullah SAW: خَيْرُ الناسِ أَنْفَعُهُمْ لِلناسِ 

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia” (Riwayat Ahmad)

InsyaAllah, fenomena filem mendidik jiwa pula bakal tercipta.

‘AQILAH ABD
Pahang – HARAKAHDAILY 7/5/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -