Fenomena luar biasa ‘Intifadhah Mahasiswa Amerika’

- Advertisement -

KEBANGKITAN mahasiswa di kampus-kampus universiti seluruh Amerika Syarikat sudah masuk minggu ketiga. Bermula di Universiti Columbia pada 17 April lalu. Ia melarat ke universiti-universiti ternama lain seperti Yale, Harvard, New York dan lain-lain. 

- Advertisement -

Bahkan suara siswa Amerika turut disambut kumpulan rakan siswa di negara-negara Eropah, Australia, New Zealand dan Korea. 

Sehingga kini lebih 2,000 pelajar Amerika Syarikat ditangkap pihak berkuasa. Namun perhimpunan mereka di kampus masing-masing belum dapat diuraikan. 

Kini seruan dan slogan, ‘bebaskan Palestin’,  ‘boikot produk Israel’ bukan lagi bergema di Kaherah, Istanbul, Amman, Damsyiq dan Tanta. Tetapi ia bermain di bibir mulut anak muda di tepi-tepi jalan dan pasar raya New York, Washington, Paris dan London. 

Mahasiswa menuntut pihak universiti dan Kerajaan Amerika supaya menghentikan pelaburan dan kerjasama dengan Israel. Menghentikan bantuan ketenteraan dan bekalan persenjataan kepada rejim Zionis.

Pihak universiti diminta menarik balik segala pelaburan di Israel dan menghentikan kerjasama pendidikan dengan institusi pendidikan negara haram itu. 

Profesor David Palumbo Liu dari Universiti Stanford berkata, majoriti anak muda Amerika berpendapat mempertahankan Palestin adalah satu ujian moral sebenar untuk dunia.

Mahasiswa Universiti Columbia yang paling ke hadapan dalam himpunan aman ini mendapat sokongan dari para pensyarah dan profesor-profesor. Himpunan ini menggabungkan 120 persatuan pelajar bersama para pensyarah.

Namun ia dicemarkan dengan tindakan Presiden Universiti yang memanggil Polis New York untuk menyuraikan pelajar. Lebih 100 pelajar ditangkap pada hari pertama campur tangan polis. 

Presiden universiti berkenaan Minouche Shafik (atau nama sebenar Ni’mat Shafiq)  yang memiliki kerakyatan Amerika dan British. Walaupun berbangsa Arab Mesir, namun ideologinya adalah lebih Amerika dari Amerika!

Tindakan Minouche mempergunakan polis buat kali pertama dalam sejarah 50 tahun universiti berkenaan mendapat kritikan panas dari ahli-ahli akademiknya sendiri. 

Antaranya Profesor Dr Jeffry David Sachs yang merupakan pakar ekonomi yang pernah berkhidmat di PBB di bawah dua orang Setiausaha Agung, Ban Ki-moon dan Kofi Annan.  

Menurutnya universiti adalah tempat belajar, mengkaji, berbincang, berhujah secara damai untuk mencari kebenaran. Presiden tidak sewajarnya memanggil polis. 

Bahkan katanya, “Tinggalkan polis di luar kampus universiti!” 

Tindakan brutal polis terhadap pelajar Columbia menjadikan isu asal sokongan terhadap Gaza berkembang menjadi isu simpati kepada mahasiswa yang ditangkap. 

Ia dengan pantas merebak ke beberapa universiti lain yang kemudiannya turut mengadakan himpunan dan bantahan.

Demonstrasi pelajar menyokong Gaza ini membabitkan universiti-universiti ternama dan tersohor bertaraf dunia, termasuk Ivy League, Universiti Rice di Houston dan Universiti Texas di Arlington.

Ia turut digerakkan oleh pelbagai persatuan termasuk Kelab Yahudi Ke Arah Kedamaian.

Lebih menarik, peserta himpunan tidak hanya terdiri dari imigran Arab beragama Islam, bahkan turut disertai ribuan pelajar pelbagai bangsa dan agama. 

Kerjasama erat antara peserta himpunan amat mengkagumkan. Hinggakan ketika peserta beragama Islam mengerjakan solat berjamaah, peserta yang bukan Islam membuat ‘pagar tangan’ sekeliling kawasan solat untuk memastikan keselamatan mereka terjamin. 

Para pensyarah universiti turut menjadikan tubuh mereka sebagai benteng untuk menghalang pihak polis bertindak terhadap mahasiswa. 

Dalam himpunan di Universiti Georgetown pada 25 April lalu, kumpulan kakitangan akademik dan pengurusan telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi menyokong himpunan mahasiswa menyokong Palestin. 

Ia turut mengutuk penggunaan pihak polis untuk menyuraikan himpunan pelajar.

Di New Jersey pula, pihak pengurusan Universiti Rutgers mengambil pendekatan bersemuka dengan kumpulan pelajar dan berbincang mengenai tuntutan mereka. Pihak universiti akur kepada sebahagian permintaan pelajar. 

Pejabat pentadbiran melaporkan pihak Rutgers setuju 8 dari 10 tuntutan mahasiswa. Walaupun ada dua perkara utama yang ditolak, namun ini satu perkembangan positif bagi perjuangan mahasiswa. 

Di pihak Kerajaan Amerika dan Israel, ia dilihat satu perkembangan yang membimbangkan. Kebangkitan pelajar bagaikan menggantikan intifadhah dan kebangkitan di negara-negara Arab.

CNN melaporkan sebahagian pemodal dan penaja pro-Israel mula mengancam universiti-universiti berkenaan untuk menarik balik sumbangan mereka. 

Universiti Harvard dan Universiti Pennsylvania sudah menerima ugutan dari penyumbang-penyumbang untuk memutuskan hubungan disebabkan berkumandangnya suara mengkritik Israel dari kampus universiti berkenaan. 

Al Jazeerah melaporkan bilionair terkenal, Leslie Wexner, telah memutuskan hubungannya dengan Universiti Harvard kerana mendakwa universiti berkenaan sangat berlembut dengan gerakan pelajar pro-HAMAS. 

Ketua Pegawai Eksekutif Wall Street, Mark Rowan pula menyeru para pemimpin Universiti Pennsylvania untuk meletakkan jawatan dan menyeru penderma lain untuk menarik balik sokongan kewangan kepada universiti berkenaan. 

Jutawan Ronald Lauder, mengancam untuk memotong derma jika universiti tidak memperkukuhkan sokongan terhadap Israel dan memerangi anti-Semitisme.

Jutawan Kenneth Griffin, yang menderma lebih daripada setengah bilion dolar kepada Universiti Harvard pada Oktober tahun lepas, memberikan isyarat bahawa universiti itu mesti bersungguh-sungguh mempertahankan Israel.

Di pihak Israel, perdana menterinya sendiri menyifatkan apa yang berlaku di universiti-universiti Amerika ini sebagai mengerikan. Amerika perlu bertindak terhadap kumpulan pelajar yang disifatkannya sebagai anti-Semitik.

Mengulas kenyataan Netanyahu itu, pelawak Amerika (asal Mesir) terkenal, Bassem Youssef berkata sinis, “Mengapa kita membelanjakan 20 bilion dollar untuk kempen seorang presiden bagi Amerika sedangkan kita sudah ada seorang presiden di Tel Aviv.” 

Perkembangan yang berlaku di universiti-universiti Amerika dilihat mengancam kedudukan Presiden Amerika sendiri. Joe Biden hari ini mengutuk kebangkitan mahasiswa menyokong Palestin dengan menyatakan bahawa mereka telah mencetuskan huru-hara.

Kenyataan Biden menjenayahkan himpunan aman pelajar dilihat memberi kuasa kepada pasukan keselamatan negara itu untuk bertindak lebih tegas dalam keadaan sudah 2,000 orang ditahan.

Presiden AS itu ditanya sama ada Pengawal Kebangsaan perlu campur tangan untuk mengawal protes. Dia berkata tidak, tetapi protes harus berlaku ‘tanpa keganasan, kemusnahan atau kebencian’ dan dalam rangka undang-undang.

USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL
Maran, Pahang – HARAKAHDAILY 7/5/2024

PENAFIAN:HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -