Jabatan Imigresen usir 150 warga China

Ahli Parlimen Ketereh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seramai 19,482 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), termasuk 150 warga China diusir oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) setakat 28 Mei lalu.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, seramai 809 pelancong warga China juga diberikan ‘Not To Land’ (Notis Penolakan Masuk) sejak Januari lalu.

Katanya, jumlah itu hanya membabitkan 0.20 peratus daripada keseluruhan 400,988 pelancong China yang masuk ke negara ini..

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Khlir meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan usaha mengesan warga China yang masuk ke Malaysia sebagai pelancong, tetapi tidak pulang ke negara asal sehingga sekarang.

Shamsul Anuar berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius masalah PATI di negara ini dengan melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan serta tindakan pencegahan bagi mengelakkan jumlah golongan itu meningkat.

Sejak 1 Januari hingga 1 Jun lalu, JIM melaksanakan 3,552 operasi penguatkuasaan membabitkan tangkapan 9,377 PATI dari pelbagai negara dan daripada jumlah itu, hanya 92 orang (0.98 peratus) adalah warga China.

Setakat 28 Mei lalu, katanya terdapat 11,309 orang tahanan di semua depot imigresen seluruh negara yang terdiri daripada 8,575 lelaki; 1,789 wanita; 526 kanak-kanak lelaki dan 419 orang kanak-kanak perempuan.

“Warga Myanmar merupakan tahanan paling ramai, iaitu 3,997 orang, diikuti warga Filipina seramai 3,055 orang dan warga Indonesia seramai 2,811 orang,” katanya.

Beliau berkata, kemasukan dan keberadaan warga asing di Malaysia tertakluk kepada dasar, peraturan dan perundangan yang berkuat kuasa.

“Hal ini termasuklah keperluan untuk memiliki dokumen perjalanan sah, mematuhi tempoh keberadaan dibenarkan serta pematuhan kepada syarat pas dikeluarkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2023

- Advertisement -