MB Terengganu terima kunjungan hormat FAM

Foto daripada Facebook Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini, melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di kediaman rasminya di Seri Iman, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Delegasi FAM diketuai pesiden badan induk bola sepak negara itu, Datuk Hamidin Mohd Amin dan disertai antaranya dua timbalannya iaitu Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram.

Kunjungan hormat ke atas Ahmad Samsuri, yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) itu, sempena dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 skuad Harimau Malaya berdepan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea masing-masing, esok dan 20 Jun ini.

Kedua-dua perlawanan itu dijadual berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, yang disifatkan Hamidin mampu mendekatkan lagi peminat bola sepak negara dengan skuad kebangsaan khususnya bagi penyokong di Pantai Timur.

“Aksi Harimau Malaya di sini juga mengeratkan lagi hubungan FAM dengan ahli gabungan yang terbukti memberi sokongan padu pada seruan negara.

“Saya dan seluruh warga kerja FAM serta skuad kebangsaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Terengganu yang mempermudahkan urusan kami sepanjang berada di sini,” kata Hamidin dalam hantaran Facebook rasmi FAM, hari ini.

Antara yang turut hadir pada sesi kunjungan hormat hari ini adalah Exco Pembangunan Belia dan Sukan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah; Timbalan Presiden PBSNT, Datuk Marzuki Sulong; Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh. – BERNAMA

- Advertisement -