KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta merangka mekanisme untuk memastikan bekalan gula di negara ini mencukupi dan tidak terganggu menjelang Aidiladha tidak lama lagi.
Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, sesetengah pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjelang perayaan, termasuk menaikkan harga serta mengawal jualan bekalan itu.
Beliau berkata, sudah menjadi kebiasaan apabila tiba musim perayaan, bekalan makanan akan terjejas dan harga terus melambung yang akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
“Berapa lama lagikah masalah kekurangan bekalan gula di pasaran dapat diselesaikan, adakah dengan kebenaran kerajaan kepada syarikat baharu dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera.
“Saya risau keadaan ini akan kembali teruk, terutama menjelang Aidiladha nanti, tentunya kesukaran dan keperitan sama akan berulang kembali,” katanya ketika perbahasan Sesi Penerangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dato’ Seri Salahuddin Ayub memberi jaminan bahawa bekalan gula pada musim perayaan akan mencukupi.
Beliau berkata, KPDN menggariskan syarat ketat kepada pengeluar gula, MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugar Refinery Sdn Bhd, pemborong dan juga peruncit.
“Jaminan dua syarikat ini, MSN dan CSR ialah mereka mesti pada setiap bulan mengeluarkan minimum 42,000 metrik tan, itu sebagai syarat tidak boleh langgar.
“Pengilang, pemborong dan peruncit jika bermain-main tentang harga gula ini ‘you will face the music’ (anda akan menerima hukuman), mereka akan didakwa, disaman serta akan disenarai hitam, saya tidak kompromi,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2023