1,986 hektar tanah terbiar di Temerloh sesuai tanam padi

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kebanyakan tanaman padi di Pahang diusahakan dalam kawasan jelapang iaitu di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan dan IADA Rompin, manakala selebihnya diusahakan di kawasan luar jelapang.

- Advertisement -

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, penambahbaikan terhadap program sedia ada sentiasa dilaksanakan bagi memastikan IADA Pekan dan IADA Rompin menyumbang kepada Tahap Sara Diri (SSL) padi negara.

Katanya, tanaman padi bagi kawasan luar jelapang terbahagi kepada dua status pengairan iaitu skim kecil dan luar skim.

Menurutnya, pembangunan dan penyelenggaraan sistem pengairan adalah di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di mana sistem pengairan bagi skim kecil adalah lengkap dan boleh bertanam dalam musim utama dan luar musim.

Katanya lagi, kawasan luar skim hanya boleh bertanam dalam musim utama sahaja kerana pergantungan kepada hujan.

“Projek tanaman padi di Parlimen Maran dan Bera dilaksanakan di kawasan sedia ada iaitu dalam status skim kecil dan luar skim,” ujarnya.

Menurut KPKM, kementerian sememangnya mempunyai cadangan untuk menambah dan membangunkan kawasan penanaman padi sedia ada.

Katanya, kawasan tanah terbiar yang sesuai untuk tanaman padi di Daerah Temerloh adalah berjumlah 1,986 hektar.

“Pembangunan infrastruktur projek tanaman padi memerlukan peruntukan yang besar.

“Justeru, kajian terperinci dari segi kesesuaian tanah, kos pembangunan dan pulangan kepada pelaburan perlu dilaksanakan terlebih dahulu bagi menilai daya maju projek,” ujarnya.

Tambahnya, Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh turut mencadangakan supaya satu lokasi iaitu di Paya Mengkuang Ladang, Mukim Lebak iaitu tanah milik kerajaan negeri seluas 150 hektar untuk penanaman padi.

“Kementerian melalui jabatan dan agensi yang berkaitan akan membuat kajian terperinci terlebih dahulu bagi menilai kemampuan untuk pelaksanaan projek tanaman padi,” katanya dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Salamiah Mohd Nor [PN-Temerloh] di Dewan Rakyat, semalam.

Salamiah Mohd Nor

Salamiah dalam soalannya meminta Menteri berkenaan menyatakan adakah kementerian bercadang membangunkan kawasan paya terbiar khususnya di Parlimen Temerloh, untuk dijadikan estet tanaman padi seperti di Parlimen Maran, Parlimen Bera dan Parlimen Rompin. – HARAKAHDAILY 8/6/2023

- Advertisement -