Pekerja asing: Tiada hasrat beri pengecualian levi

Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan pada masa ini tidak berhasrat untuk memberikan sebarang pengecualian levi kepada mana-mana sektor penggajian pekerja asing, kata Kementerian Sumber Manusia (KSM).

- Advertisement -

KSM menyatakan demikian berdasarkan maklum balas yang diterima daripada Kementerian Dalam Negeri.

Ini kerana, ujarnya pembayaran levi merupakan salah satu mekanisme yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing demi memastikan peluang pekerjaan warganegara Malaysia tidak terjejas.

Pada masa ini juga, katanya kerajaan sedang merangka mekanisme terbaik dalam melaksanakan levi pelbagai peringkat (multi tier levy-MTL) yang mana kadar levi yang dikenakan adalah berdasarkan “lebih ramai pekerja asing yang digajikan, lebih tinggi kadar bayaran levi yang perlu dijelaskan”.

Kementerian menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh [PN-Pasir Puteh] pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Nik Zawawi menerusi soalannya meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan kenapakah kerajaan tidak memberikan pengecualian levi pekerja asing bagi sektor perladangan memandangkan kos operasi ladang telah meningkat antara 10 hingga 20 peratus pasca Covid-19. – HARAKAHDAILY 8/6/2023

- Advertisement -