Harap semarak solat tidak ‘terpasung’ era Malaysia Madani

- Advertisement -

KELANTAN dalam sohornya disebut Tanah Serendah Sekebun Bunga dan negeri Che Siti Wan Kembang, ia juga terkenal dengan julukan sebagai Serambi Makkah. Ertinya ia dilihat sebagai bumi peribadatan, negeri agama, tadahan wahyu dan ilmu Islam.

Walaupun kekadang ada konotasi memperlekeh dengan panggilan negeri lebai dan seumpama, tetapi setidak-tidaknya negeri ini diingati dengan imej baik. Juga pandangan menghindari keburukan atau kemungkaran atau larangan Allah S.W.T.

Alhamdulillah, biarpun masih ada memandang ‘sebelah mata’, bagi rakyat Kelantan dan mereka yang memahami agama, semua itu merupakan satu pengiktirafan dan martabat. Meletakkan Kelantan di satu kemuliaan dan ketinggian kedudukan.

Rata-rata umumnya rakyat negara ini, bahkan rantau ini, malah dunia antarabangsa mengetahui di Kelantan dilatari pondok atau institusi pengajian Islam serta ramainya ulamak serta cara hidup rakyatnya juga yang teguh dengan Islam.

Sejak tahun 1990 pula, pandangan dunia tertumpu ke Kelantan apabila gerakan Islam di negara ini yakni PAS berjaya memenangi PRU dan kembali mengetuai Kerajaan Negeri. Dipimpin pula seorang tokoh ulamak iaitu Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat (almarhum).

Dengan teras pentadbiran Membangun Bersama Islam diperkenalkan, wahana kehidupan masyarakat negeri ini semakin teguh dengan pegangan kepada syariat. Usaha-usaha mengkanun hukum agama dalam enakmen atau perundangan, giat diusahakan.

Panjang hal tersebut untuk ditulis satu persatu dan tidak sedikit cabaran juga ditempuh. Tetapi antara usaha Kelantan sejak itu yang tidak dipandang besar oleh kebanyakan orang luar adalah menyemarakkan solat dalam kehidupan warganya.

Solat tidak dianggap urusan khusus atau peribadi diri seseorang, tapi ia telah diagendakan menerusi pentadbiran Kerajaan selaku pemerintah atau pemimpin sebagai perkara penting yang diberi perhatian ke atas rakyat.

Sejak itu, antara diadakan sehingga ke saat ini adalah Bulan Solat yang biasanya diadakan pelbagai acara atau sambutan khusus bermula bulan Rejab. Banyak tujuan atau hikmah telah diungkapkan dari penganjurannya.

Selain menekankan solat kewajiban dan tiang agama, sambutan diadakan juga membawa motif untuk Sunnah Rasulullah S.A.W iaitu solat berjemaah menjadi budaya rakyat negeri ini, sekali gus mengimarahkan rumah Allah.

Masjid, surau atau musolla bukan sahaja ramai hadir solat berjemaah, tetapi dari situ juga mengukuhkan dan mengeratkan Perpaduan Ummah, sekali gus terbina imuniti yakni terhindar dari tegahan-tegahan agama.

Menteri Besar, Dato’ Ustaz Ahmad Yakob pernah berkata, masyarakat yang memandang ringan ibadat solat akan membawa kepada kepincangan dalam kehidupan sehingga memberi kesan buruk kepada kesejahteraan masyarakat.

“Individu terbabit akan terjerumus ke lembah krisis kemaksiatan dan kemungkaran,” katanya pada perasmian Sambutan Bulan Solat, tahun lalu.

Seru beliau, usaha mengajak rakyat menghayati falsafah ibadat solat ia bukan sahaja terpikul di bahu agensi agama bahkan menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sama-sama mengambil tanggungjawab menyedarkan masyarakat.

Ibadat solat ujarnya, mengandungi rahsia yang tersendiri khususnya untuk tujuan pembersihan jiwa dan pembentukan peribadi ummah yang diredhai dan negara yang diberkati oleh Allah S.W.T.

Selama 32 tahun, inisiatif yang ada setengah pihak meremehkannya, tetapi begitu besar dalam pembangunan Kelantan. Buktinya, pentadbiran negeri ini bersih dari isu integriti.

Jenayah dan masalah sosial Kelantan juga adalah terendah walaupun media membesarkan kes-kes yang terjadi tanpa perbandingan adil dari realiti di negeri lain.

Biarlah dinafikan atau diburukkan sekalipun, hatta dimomokkan pula hal lainnya, Kelantan berharap solat ini menjadi agenda yang akan turut didukung Putrajaya ke atas seluruh Malaysia kelak.

Dalam tempoh kurang tiga tahun semasa di bawah PERIKATAN NASIONAL (PN) dahulu masjid-masjid sempat memarakkan pelbagai program agama termasuk kesedaran berkaitan solat.

Diharap biarpun kerajaan telah bertukar, agenda ini tidak berundur ke belakang dengan sekatan-sekatan yang telahpun kedengaran berlaku di bawah Kerajaan Malaysia Madani.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 26/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -