Dasar pentadbiran negeri PAS akan dibawa ke Persekutuan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tanggal 21 Oktober depan akan genap 32 tahun PAS mentadbir Kerajaan Negeri Kelantan sebagai sebuah pemerintahan kecil yang penuh cabaran dengan membawa dasar ‘Membangun Bersama Islam’. 

- Advertisement -

Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Kelantan, Zulkifli Mamat berkata, biarpun pada peringkat awal kemenangan PAS pada tahun 1990 itu dikatakan kerajaan hanya mampu bertahan 3 bulan, namun sebaliknya telah diperlihatkan. 

Alhamdulillah dengan berkat dan izin Allah S.W.T, kerajaan kita boleh melangkah daripada tahun ke tahun, pilihan raya demi pilihan raya, menjadikan ianya berumur 32 tahun dengan dasarnya yang tidak pernah diubah.  

“Iaitu ‘Membangun Bersama Islam’, berpaksikan kepada tiga prinsip utama iaitu Ubudiyah, Mas’uliyah, dan Itqan. Ini merupakan pegangan yang menjadi ikatan dan tautan semua bermula daripada pihak pembuat dasar, pentadbir dan juga rakyat. 

“Di sana terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian khususnya oleh pemimpin untuk diterapkan kepada rakyat melalui jentera pentadbiran yang ada,” ujar beliau dalam satu wawancara kelmarin dahulu. 

Menurut beliau, dasar yang baik tersebut membolehkan Kelantan berjaya melangkah dengan baik setahun demi tahun dengan membuktikan kepada rakyat kemampuan kepimpinan berteraskan Islam. 

Katanya, dari masa ke semasa pemerintahan tersebut semakin baik, namun tetap mengajak rakyat seluruhnya bersama memerhati untuk diadakan penambahbaikan dan pemantapan pentadbiran. 

Bahkan PAS ujarnya, mahu membawa segala kebaikan dasar Islam itu keluar dari negeri ditadbirnya yakni dilaksanakan pula dalam pentadbiran pemerintahan di peringkat Kerajaan Persekutuan. 

Jelasnya, perubahan terus berlaku di mana kecenderungan masyarakat dan perkembangan Islam semakin meningkat di mana beliau berkeyakinan penuh ianya masa depan yang cerah buat PAS. 

Hal tersebut terangnya, hinggakan pelbagai perbuatan mempermain dan meremehkan Islam tidak lagi berlaku seperti dahulu, sebaliknya kemahuan penerapan Islam kian berkembang. 

“Ini hasil kerja PAS, hasil kerja ulamak, hasil banyaknya pusat pengajian tinggi dan berteras Islam, hasil perubahan dunia terhadap Islam hingga diterima pakai dalam bidang politik, pentadbiran, perniagaan, sains dan sebagainya. 

“Hari ni kita ada Kedah, Kelantan dan Terengganu. Ini merupakan suatu keadaan yang cukup baik. Kedah sebuah negeri yang berada di Utara dengan suasana pertaniannya, Terengganu dengan hasil mahsulnya. 

“Kelantan dengan negeri yang agak pertanian dan tidak ada hasil mahsul negeri yang diiktiraf. Apa yang menarik kalaulah kerana PAS maka tidak maju, kenapa di Terengganu, kerajaan yang baru boleh meneruskan kemajuan?  

“Malah lebih cemerlang lagi walaupun ianya diperintah oleh PAS. Di Kedah, kalaulah kerana PAS maka ianya mundur, kenapa di Kedah boleh meneruskan kemajuan yang telah dibawa dan ianya tidak asing, tidak menjadi suatu penghalang kepada kemajuan,” ujarnya. 

Kelantan pula katanya, sejak tahun 1990 lagi dinafikan pelbagai hak menyebabkan keterbatasan infrastruktur seperti lebuh raya dan lapangan terbang yang disekat biarpun telah diluluskan. 

Bagaimanapun beliau percaya, dengan Kelantan dibenarkan mempunyai pelabuhan laut nanti, pertumbuhan ekonomi negeri ini akan berubah sebagaimana negeri-negeri lain telahpun mempunyai infrastruktur itu. – HARAKAHDAILY 4/10/2022

- Advertisement -