Alam semula jadi bakal kosong

- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

- Advertisement -

LONDON: Populasi hidupan liar global telah berkurangan lebih dua pertiga atau sebanyak 69 peratus sejak tahun 1970, impak hutan yang telah dibersihkan dan lautan tercemar memberi amaran bahawa dunia bakal sifar alam semula jadi. 

Pengarah  Pemuliharaan dan Dasar di Persatuan Zoologi London (ZSL), Andrew Terry pada Khamis (13 Okt) waktu tempatan berkata, pengurangan dalam jumlah serius itu menanda memberitahu alam semula jadi kini sedang musnah dan pupus; dan dunia akan jadi kosong tanpa alam semula jadi.

Laporan Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF), yang menggunakan data  2018 daripada ZSL mengenai status 32,000 populasi hidupan liar yang meliputi lebih daripada 5,000 spesies, mendapati saiz populasi telah menurun sebanyak 69 peratus secara purata, lapor Reuters. 

“Penebangan hutan, eksploitasi manusia, pencemaran, dan perubahan iklim adalah pemacu terbesar kerugian.

“Populasi hidupan liar di Amerika Latin dan Caribbean terjejas teruk, mengalami penurunan sebanyak 94 peratus dalam masa lima dekad sahaja. Satu populasi ikan lumba-lumba sungai merah jambu di Amazon Brazil menjunam sebanyak 65 peratus  antara 1994 dan 2016,” ujar laporan itu.

“Penemuan secara amnya serupa dengan penilaian terakhir WWF pada 2020, dengan saiz populasi hidupan liar terus menurun pada kadar kira-kira 2.5 peratus setahun,” jelas Terry.

Sementara AFP melaporkan Pengarah Sains di WWF-UK, Mark Wright sebagai berkata bahawa alam semula jadi kini berada dalam ancaman serius.

Walau bagaimanapun, laporan itu menawarkan sedikit harapan. Ini kerana walaupun populasi gorila tanah rendah timur di Taman Negara Kahuzi-Biega Republik Demokratik Congo jatuh sebanyak 80 peratus antara 1994 dan 2019 disebabkan oleh pemburuan daging belukar, namunpopulasi gorila gunung berhampiran Taman Negara Virunga meningkat daripada kira-kira 400  ekor pada tahun 2010 kepada lebih 600 ekor pada 2018.

“Namun, penurunan yang meluas telah mendorong permohonan terdesak untuk meningkatkan sokongan terhadap alam semula jadi,” tambah Wright.

Sehubungan itu, menjelang Disember ini, perwakilan dari seluruh dunia akan berkumpul di Montreal, Kanada  untuk melancarkan strategi global baharu untuk melindungi tumbuhan dan haiwan dunia.

“Salah satu permintaan terbesar adalah kemungkinan peningkatan pembiayaan untuk usaha pemuliharaan global.

“Kami menyeru negara-negara kaya untuk memberikan sokongan kewangan kepada kami untuk melindungi alam semula jadi kami,” kata Pengarah WWF Afrika,  Alice Ruhweza. – HARAKAHDAILY 14/10/2022

- Advertisement -