Benarkah Undi18 akan mempengaruhi keputusan PRU-15

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Penurunan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun menyebabkan pelbagai pihak memperkatakan mengenai pengaruh dan kesan Undi18 terhadap pola pengundian dalam pilihan raya.

Pada peringkat awal, kehadiran Undi18 yang buat kali pertama bakal mengundi dikatakan akan memberi impak besar terhadap perjalanan pilihan raya, termasuk dari segi pemilihan calon, isu kempen dan lebih penting ialah keputusan pilihan raya itu sendiri.

- Advertisement -

Tanpa menunggu hingga Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang paling lewat diadakan pada Julai 2023, kehadiran Undi18 diuji dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.

Walaupun buat kali pertama mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun boleh mengundi dalam PRN Johor, kadar peratusan keluar mengundi, terutama pemilih muda tidak seperti yang diharapkan.

Daripada 54.92 peratus keseluruhan keluar mengundi yang direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pengundi muda dianggarkan hanya di bawah lima peratus.

Pelbagai analisis diberikan terhadap kadar keluar mengundi yang rendah itu, tetapi tiada siapa berani menafikan bahawa faktor pengundi muda kekal relevan dalam PRU-15.

Ini menyebabkan parti politik secara berterusan memberi fokus terhadap pengundi muda, terutama untuk menggalakkan mereka keluar mengundi. Ketika persidangan Parlimen, antara soalan popular ditanya ialah sejauh manakah usaha kerajaan meningkatkan kesedaran dan menggalakkan pengundi muda keluar mengundi.

Begitu hebat kuasa pengundi muda. Namun benarkah pengundi muda akan memberi kesan besar terhadap keputusan PRU-15 akan datang?

Kebanyakan pihak hanya memberikan gambaran secara umum, iaitu pengundi muda sangat penting, tetapi kajian penyelidik Institut Yusof Ishak (ISEAS) di Singapura, James Chai, boleh membuka persepsi lebih luas terhadap kuasa pengundi muda.

Secara umum, Undi18 sepatutnya memperkasakan generasi pengundi baharu. Namun, realitinya tidak semua undi belia mempunyai nilai yang sama.

Menurut James, pengundi muda perlu dilahirkan di tempat yang betul untuk mereka memberikan impak yang besar terhadap sistem politik negara.

“Jika pengundi muda berasal dari kawasan majoriti Cina, bandar dan makmur dari segi ekonomi seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur atau Selangor, kemungkinan undi pengundi muda tidak akan membawa perubahan.

“Bagaimanapun, jika pengundi muda dari kawasan majoriti Melayu, separuh bandar dengan ekonomi dan perkhidmatan awam yang agak lemah, maka kemungkinan pengundi muda akan menjadi sebahagian faktor perubahan di kawasan itu,” katanya.

Ini berikutan pengundi muda tidak tersebar secara sekata di semua kawasan Parlimen, tetapi mereka lebih tertumpu di kawasan bandar menyebabkan kuasa mengundi mereka berbeza mengikut geografi.

Untuk mengira nilai undi pengundi muda, beliau mengkategorikan bilangan pengundi muda berumur antara 18 hingga 29 tahun mengikut kawasan Parlimen dan majoriti undi kemenangan dalam PRU Ke-14.

Berdasarkan kedua-dua data ini, pengaruh pengundi muda untuk menentukan kemenangan dikira. Lebih kecil peratusan undi pengundi muda diperlukan untuk mengubah majoriti undi yang menang dalam PRU-14, maka undi pengundi muda menjadi lebih berkuasa.

Sebagai contoh bagi Parlimen Keningau di Sabah, terdapat 28,537 pengundi berumur 18 hingga 29 tahun. Majoriti undi kemenangan dalam PRU-14 hanya 45 undi. Oleh itu, hanya 0.001 peratus daripada 28,537 diperlukan untuk menentukan kemenangan dalam PRU-15 akan datang.

Ini bermaksud bagi kawasan Parlimen yang mempunyai ramai pengundi muda, manakala majoriti kemenangan dalam PRU-14 kecil, Undi18 boleh menentukan kemenangan seseorang calon dalam PRU-15.

Pengundi muda di bandar dengan taraf hidup lebih baik, termasuk kadar pengangguran terendah, mempunyai keupayaan paling sedikit untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Di Parlimen Jelutong, Pulau Pinang, hanya terdapat 17,316 pengundi muda sedangkan majoriti undi kemenangan dalam PRU-14 ialah sebanyak 38,171 undi. Walaupun semua golongan muda berumur antara 18-29 tahun di Jelutong mengundi satu parti lawan, ia tidak akan mengubah keputusan kerusi itu.

Ini bermakna dalam PRU-15, parti politik perlu menganalisis jumlah pengundi muda di sesuatu kawasan Parlimen untuk mengenal pasti strategi kempen yang tepat.

Berdasarkan kajian James, kawasan separa bandar dan kurang makmur dari segi ekonomi mempunyai pengundi muda yang boleh menentukan hala tuju negara pada masa depan.

Dari satu segi, katanya ini adalah antara kesan positif Undi18 kerana pengundi muda yang ketinggalan dari segi ekonomi dan pembangunan, kini mempunyai suara demokrasi terbesar untuk menentukan nasib pemimpin dan isu negara.

Sehubungan itu, katanya kemungkinan hasil pembangunan dan ekonomi di kawasan berkenaan akan bertambah baik dengan syarat pengundi muda melaksanakan tanggungjawab demokrasi mereka.

Bagaimanapun, katanya terdapat kontras yang ketara, iaitu kerusi Parlimen yang pengundi muda berpengaruh didominasi kaum Melayu, manakala kerusi bandar majoriti Cina, mempunyai kecenderungan lebih tinggi untuk mengundi pakatan pembangkang, Pakatan Harapan.

Namun, pengundi muda di kawasan bandar ditenggelami jumlah pengundi secara keseluruhan yang lebih besar. – HARAKAHDAILY 24/8/22

- Advertisement -