Ketelusan sistem kehakiman perlu dihormati

Dato’ Mohd Amar Abdullah
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Pemimpin kerajaan diingatkan supaya mengambil iktibar terhadap kes yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, setiap pemimpin tidak boleh sewenang-wenangnya terlibat dengan sebarang kes penyelewengan ketika mengurus dan mentadbir negara.

Katanya setiap pemimpin perlu mematuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan bagi mengelak berlaku sebarang penyelewengan, di samping menjaga imej negara itu sendiri.

- Advertisement -

“Isu ini adalah sebagai suatu peringatan kepada kita semua supaya berhati-hati ketika melaksanakan tugas. Walaupun boleh jadi tujuan kita baik tapi cara dan proses itu mestilah tidak menyalahi undang-undang.

“Niat ini, boleh jadi seseorang itu ada niat yang baik. Tapi kalau cara tidak betul dan menyalahi undang-undang ia boleh menimbulkan masalah,” katanya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Semalam Najib gagal dalam rayuannya apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM120 juta atas kesalahan penyelewengan dana tersebut.

Mohd Amar berkata, sebarang tindakan dan keputusan yang diambil mahkamah dilihat mengikuti proses ditetapkan.

Malah katanya sebarang keputusan dan ketelusan sistem kehakiman di negara ini perlu dihormati semua pihak.

“Walaupun mungkin ada tidak puas hati dan ada yang terkilan dengan keputusan tersebut tetapi prosesnya berjalan mengikut apa yang sepatutnya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 24/8/2022

- Advertisement -