28,712 pasangan dapat manfaat program praperkahwinan

Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Sehingga sekarang seramai 28,712 pasangan mendapat manfaat pelaksanaan program praperkahwinan, SmartStart bagi membantu menangani konflik rumahtangga.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, program tersebut memberi fokus ilmu keibubapaan dan mengatasi tekanan.

Katanya, program yang dibangunkan sejak 2006 itu dikhaskan bagi pasangan akan berkahwin serta baru berkahwin dalam tempoh satu hingga lima tahun.

- Advertisement -

“Sebelum memasuki alam rumahtangga, tambah ilmu supaya kita dapat faham, apakah tanggungjawab pasangan bukan sahaja di dunia, malah di akhirat juga.

“Tetapi banyak rumahtangga bahagia, peratusannya kalau hendak banding dengan tidak bahagia, didapati lebih ramai yang bahagia.

“Tahniah saya ucapan kepada pasangan yang berjaya mengharungi rumahtangga dengan baik,” katanya pada program Bicara Siasah membincangkan tajuk ‘Wanita dan Kemerdekaan melalui laman Legasi Tok Guru malam tadi.

Siti Zailah berkata, program itu dibangunkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Menurutnya usaha itu dieratkan lagi dengan pelaksanaan program SmartStart 2nd Honeymoon yang bertujuan mengurangkan kadar perceraian serta memperkasakan bahtera perkahwinan khusus melibatkan perkahwinan usia muda. – HARAKAHDAILY 24/8/2022

- Advertisement -