Benih padi sah dan subsidi padi perlu perhatian kerajaan

- Advertisement -

DALAM sesi perbahasan Rang Undang-undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022 pada 10 Ogos lepas, saya telah menekankan beberapa isu antaranya benih padi sah dan subsidi padi yang memerlukan perhatian dan maklum balas daripada pihak kementerian. 

Saya menyambut baik respon balas daripada pihak Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berkenaan tindakan penguatkuasaan yang telah dilaksanakan berhubung isu benih padi sah yang dijual melebihi harga kawalan. Berdasarkan jawapan di Dewan Negara, sebanyak 67 buah premis kedai input pertanian, kedai racun telah diperiksa dan menghasilkan lapan kes di Kedah bersabit kesalahan menjual benih padi tidak sah.

Saya berharap lantikan 13 pemborong benih padi sah dan 12 syarikat pengeluar untuk mengedarkan benih padi sah benar-benar dapat mengelakkan penyelewengan dan kelewatan bekalan benih padi sah yang berlaku lagi sebelum ini sehingga menimbulkan kerugian yang besar kepada para petani.

Di samping itu, satu mekanisme atau sistem berkaitan subsidi input pertanian perlu diwujudkan dan dipersetujui di antara kerajaan dan pesawah. Hal ini demikian kerana, prestasi syarikat mahupun vendor yang terpilih dan bertanggungjawab memberi input pertanian sebelum ini kepada pesawah tidak memuaskan. 

Kerajaan mungkin boleh melaksanakan subsidi output dalam memastikan para pesawah menerima subsidi terus kepada mereka. Kaedah pemberian secara kupon yang dilaksanakan ketika ini dalam aspek subsidi jentera dan sebagainya itu sangat berkesan dan ia juga boleh dilaksanakan untuk subsidi benih, racun dan sebagainya.

Oleh itu, saya berharap isu berkaitan benih padi sah dan subsidi padi mendapat perhatian daripada pihak kementerian dengan mencari jalan penyelesaian yang lebih konkrit dan holistik.

“Islam Menyatukan Ummah”

YB SENATOR DATO’ HAJI HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 16/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -